Artikel

Malaysia Hilang 12.69 Mata, Jatuh 2 Anak Tangga Susulan Tewas Di Tangan Jordan

Kekalahan besar Malaysia di tangan Jordan pada aksi pembukaan Kumpulan E dalam saingan Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub pada awal pagi tadi bukan sahaja membuatkan skuad negara gagal mengutip sebarang mata.

Bahkan, kekalahan itu turut memberikan impak yang besar terhadap pungutan mata dan kedudukan dalam Ranking Dunia FIFA buat skuad bola sepak negara.

Berdasarkan kiraan tidak rasmi yang dikongsikan oleh Footy Rankings, susulan tewas 0-4 di tangan Jordan yang menghuni ranking ke-87 dunia itu, Malaysia kini kehilangan 12.69 mata daripada 1122.87 mata yang terkumpul sebelum ini.

Baca: Piala Asia 2023 Implemen Teknologi Ofsaid Separa Automatik

Kehilangan mata tersebut menyebabkan Malaysia secara tidak rasminya kini jatuh sebanyak dua anak tangga sekaligus menghuni tangga ke-132 dalam Ranking Dunia FIFA.

Sementara itu, Jordan yang merangkul kemenangan menerusi jaringan berganda oleh Mahmoud Al-Mardi dan Mousa Al-Tamari pula meraih tambahan 12.69 mata dan mengumpul 1285.32 mata secara keseluruhan.

Tambahan mata itu membuatkan skuad berjulukan Al-Nashama secara tidak rasminya memanjat sebanyak satu anak tangga serta menghuni tangga ke-86 dunia dalam Ranking Dunia FIFA – memintas Bahrain yang turut sama berada dalam Kumpulan E.

Pungutan mata dan kedudukan dalam Ranking Dunia FIFA melibatkan ketiga-tiga negara ini dijangka akan menghadapi perubahan lagi selepas ini.

Lebih-lebih lagi Malaysia dijadualkan turun berentap menentang Bahrain sementara  Jordan pula akan berhadapan Republik Korea.pada aksi kedua peringkat Kumpulan E pada 25 Januari nanti.

Baca – Bahrain vs Malaysia: 16 Lokasi Tayangan Skrin Besar Percuma Seluruh Negara

Featured Image: AFC

komen