Artikel

Piala Asia 2023: Kandas Peringkat Kumpulan, Malaysia Raih RM944,000

Penyertaan Malaysia setakat peringkat Kumpulan E dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar memberikan mereka wang tunai sebanyak AS$200,000 atau bersamaan sekitar RM944,000 (tukaran semasa).

Jumlah wang tunai yang diberikan tersebut merupakan yuran penyertaan yang dijanjikan oleh penganjur kepada kesemua 24 pasukan yang beraksi dalam kejohanan kali ini.

Bagi pasukan yang merekodkan kemaran setakat peringkat separuh akhir akan mendapat pemberian wang tunai yang lebih lumayan iaitu sebanyak AS$1 juta atau bersamaan sekitar RM4.72 juta bagi setiap pasukan.

Manakala juara dan naib juara Piala Asia 2023 pula akan menerima ganjaran sebanyak AS$5 juta dan AS$3 juta atau bersamaan sekitar RM23.6 juta dan RM14.16 juta masing-masing.

Namun begitu, juara dan naib juara dikehendaki memperuntukkan 5% daripada jumlah ganjaran tersebut kepada AFC Dream Asia Foundation untuk mendanai aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial.

Baca: Malaysia Turuti Vietnam, Tersingkir Piala Asia 2023

Untuk makluman, perjalanan Malaysia dalam saingan Piala Asia 2023 terhenti setakat peringkat kumpulan susulan tewas tipis 0-1 perlawanan di tangan Bahrain pada aksi kedua Kumpulan E, semalam.

Terdahulu, Malaysia memulakan kempen Kumpulan E dengan tewas besar 0-4 di tangan Jordan pada 16 Januari lalu.

Biarpun mempunyai baki satu lagi perlawanan menentang Republik Korea pada 25hb nanti, penganjur mengesahkan skuad negara berjulukan Harimau Malaya gagal layak ke pusingan 16 berikutan kriteria “head-to-head” sepertimana digariskan dalam Peraturan Pertandingan.

Kriteria itu membuatkan skuad bimbingan Kim Pan-gon kekal di posisi tercorot dalam Kumpulan E waima sebarang keputusan terhasil melibatkan perlawanan Malaysia-Korea dan Jordan-Bahrain pada Khamis kelak.

Featured Image: AFC

komen