Menteri ‘Cabar’ Harimau Malaya Layak Ke Setiap Edisi Piala Asia
January 23, 2024 Hafizuddin Omar

Kempen skuad bola sepak kebangsaan atau nama julukannya, Harimau Malaya di pentas Piala Asia 2023 terhenti setakat peringkat kumpulan susulan tewas dua perlawanan berturut-turut di tangan Jordan dan Bahrain. 

Biarpun masih mempunyai baki satu lagi perlawanan menentang Republik Korea, penganjur telah mengesahkan skuad kebangsaan bimbingan Kim Pan-gon tidak layak ke pusingan seterusnya waima sebarang keputusan terhasil selepas perlawanan tersebut.

Meskipun kempen julung kalinya Harimau Malaya di pentas Piala Asia secara merit selepas 42 tahun berakhir dengan pencapaian yang tidak memberangsangkan, namun, Menteri Belia dan Sukan iaitu YB Hannah Yeoh menyifatkan ianya bukanlah penamat buat segala-galanya.

Sebaliknya, Hannah yang juga merupakan Ahli Parlimen Segambut mencabar Harimau Malaya agar tidak menjadikan kemaraan secara merit selepas 42 tahun ke Piala Asia 2023 sebagai keajaiban tunggal tetapi wajib layak ke setiap edisi selepas ini.

Kita mesti menjadikannya sebagai suatu kemestian dalam setiap Piala Asia.” ungkapnya menerusi pelbagai platform media sosialnya sebelum berangkat pulang ke tanah air dari Doha, pada hari ini.

Baca: KBS Sedia Bincang Isu SUKMA 2028 Patuh Syariah – Hannah Yeoh

Pada masa yang sama, Hannah mengajak Harimau Malaya memandang ke hadapan dan bersiap sedia untuk mengharungi kempen pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada Mac dan Jun kelak.

Pada aksi kelayakan tersebut, Harimau Malaya dijadualkan menentang Oman pada 21hb dan 26 Mac di tempat lawan dan tempat sendiri masing-masing.

Selepas itu, Harimau Malaya akan bertemu pula Kyrgyzstan dan Chinese Taipei pada 6hb dan 11hb Jun di halaman lawan dan halaman sendiri masing-masing.

Sekiranya menamatkan kempen kelayakan pusingan 2 ini selaku juara atau naib juara, Harimau Malaya akan layak menyertai Piala Asia 2027 yang berlangsung di Arab Saudi secara automatik. 

Selain itu, Harimau Malaya akan menyertai kelompok 18 pasukan terbaik benua asia ke pusingan 3 kelayakan Piala Dunia 2026.

Berbalik kepada perlawanan terakhir pada peringkat kumpulan menentang Korea bimbingan Jurgen Klinsmann yang menghuni ranking ke-23 dunia, Hannah melihat ianya akan membantu para pemain negara memperolehi pengalaman yang tidak ternilai.

Baca: Treler Filem Harimau Malaya: The Untold Journey Diperlihatkan

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Hannah Yeoh (@hannahyeoh)

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen