Tiktok Muncul Selaku Penaja Baharu Selangor FC
January 29, 2024 Hafizuddin Omar

Aplikasi video berdurasi pendek iaitu TikTok kini menyertai barisan penaja dan diperkenalkan sebagai Rakan Rasmi Platform Video Pendek buat Selangor FC.

Pengenalan itu hadir setelah kedua-dua entiti menandatangani perjanjian kerjasama yang diadakan di Gelanggang Futsal Pangsapuri Seksyen 7, Shah Alam bersekali dengan pelancaran program RG Neighborhood.

Menerusi kerjasama ini, TikTok akan menyediakan latihan dan bengkel bagi membolehkan para pemain menggunakan platform tersebut untuk membina komuniti.

Pada masa yang sama, Tiktok juga akan bekerjasama dengan Selangor untuk memberi impak positif kepada komuniti setempat.

Baca: Le Tour de Langkawi 2023 Disiarkan Secara Langsung Di TikTok

Ianya dilakukan dengan menambah baik dan memperbaharui kemudahan sukan, menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat dan aktif serta mendorong penyertaan bola sepak di kalangan belia.

Kerjasama ini menyaksikan, Selangor akan memaparkan logo TikTok pada jersi skuad bola sepak wanita, di stadium serta menggunakan #SukanDiTikTok di semua saluran media sosial pada hari perlawanan.

Sementara itu, menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai program RG Neighbourhood, ianya sebuah program kemasyarakatan yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan kelab dengan komuniti setempat.

Program itu dilancarkan buat julung kalinya selepas Selangor bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melakukan baik pulih gelanggang futsal di pangsapuri berkenaan.

Baca: Kerteh FC Kesan Bakat Aqil Akashah Ketika Bermain Futsal Di Kampung-Kampung

Komen