MAFA Perhalusi Kemasukan Melaka Dalam Saingan Liga Super 2024-25
January 29, 2024 Hafizuddin Omar

Hasrat pasukan Melaka, difahamkan Melaka FC, untuk menyertai kancah bola sepak tertinggi tanah air iaitu  Liga Super 2024-25 sedang diperhalusi oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA).

Perkara tersebut disahkan oleh MAFA selepas melangsungkan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif semalam yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri selepas diberi mandat oleh Presiden, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

“MAFA kini di peringkat perbincangan bersama kelab-kelab Liga M3 untuk memperhalusi penyertaan Melaka untuk beraksi di Liga Super.”

“Banyak perkara perlu diteliti oleh MAFA termasuk mendapatkan pandangan daripada Amateur Football League (AFL).” tulis kenyataan MAFA, pada hari ini.

Baca: Dira Abu Zahar Barisi Kepimpinan Persatuan Bola Sepak Melaka Penggal 2023-2026

Menurut laporan media, ketika berlangsungnya Kongres Tahunan Ke-67 MAFA pada penghujung tahun lalu, Presiden MAFA merangkap Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf memaklumkan akan berunding dengan Malaysian Football League (MFL) agar pasukan Melaka dapat kembali beraksi dalam kancah Liga Super.

Secara tiba-tiba, ruang tersebut terbuka buat Melaka serta pasukan-pasukan lain yang beraksi dalam saingan Liga M3 apabila MFL mengumumkan  membuka semula permohonan lesen luar biasa (extraordinary license).

Menurut MFL, langkah itu dilakukan susulan keputusan First Instance Body (FIB) dan Jawatankuasa Rayuan Pelesenan Kelab MFL (AB) menolak permohonan Lesen Kebangsaan Kelantan FC.

Baca: Perlis, Melaka, Sarawak Berpeluang Ganti Kelantan Di Liga Super 2024-25

Oleh demikian, pasukan-pasukan Liga M3 yang berminat menyertai saingan Liga Super 2024-25 diminta untuk mengemukakan pemohonan pada 18hb Januari sementara proses penyerahan semua dokumen menerusi AFC Clas akan bermula dari 19hb Januari hingga 2hb Februari 2024.

Pada masa yang sama, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MAFA semalam turut memutuskan untuk memfokuskan terhadap pasukan pembangunan seperti Piala Presiden, Piala Belia, Futsal Lelaki, Bola Sepak Wanita dan membawa penyertaan pasukan Bola Sepak Pantai Lelaki.

Antara lain yang dibincangkan dan dicapai MAFA dalam mesyuarat yang sama adalah sebulat suara mengekalkan 75 Kelab Gabungan bagi tahun 2024-25 dan memastikan kelab-kelab ini terus aktif menyertai pertandingan Liga Tempatan.

Selain itu, MAFA juga berhasrat untuk mewujudkan Akademi Bola Sepak MAFA bagi memberi peluang dan ruang kepada generasi baru bagi mengikuti aktiviti yang dianjurkan.

Featured Image: Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA)

Komen