Senarai awal barisan legenda serta bekas pemain Liverpool dan Manchester United (Man Utd) yang akan turun beraksi dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 27 April kelak kini dikongsikan secara rasmi oleh penganjur.
Perlawanan yang dinamakan sebagai “Battle of The Reds” anjuran AllStar Sports dengan kolaborasi bersama ACO Media dan World Football Legends (WFS) akan menemukan Liverpool Reds dan Manchester Reds.
Sepertimana dilaporkan Sukanz sebelum ini, Liverpool Reds akan diketuai oleh bekas bek kiri, John Arne Riise selaku kapten sambil disertai oleh Emile Heskey, Vladimir Smicer, Patrik Berger dan David James.
Tambahan kepada senarai tersebut ialah Steve McManaman, Sammi Hyypia, Glen Johnson, John Durnin, Phil Babb dan David Thompson.
Manakala skuad Manchester Reds pula akan dikepalai bekas penyerang, Teddy Sheringham bersama-sama Dwight Yorke dan Loius Saha.
Sementara itu, penganjur turut mengesahkan Jaap Stam akan turut serta dalam perlawanan ini sambil dibarisi Lee Sharpe, Clayton Blackmore, Keith Gillespie, Ben Thornley, Eric Djemba Djemba, Paul Rachubka, Russell Beardsmore, Lee Martin dan Danny Webber.
Menurut makluman tambahan oleh penganjur, beberapa nama lain lagi akan didedahkan menjelang berlangsungnya perlawanan “Battle Of The Reds” kelak.
Bagi peminat Liverpool dan Man Utd yang ingin menyaksikan barisan legenda dan bekas pemain ini beraksi di SNBJ, tiket bagi perlawanan ini akan mula dijual pada 5hb Februari menerusi laman sesawang, ticket2u.com.my.
Terdapat lima kategori tiket yang dijual dan harganya adalah seperti berikut; RM1,888 (VIP), RM268 (PS1), RM208 (PS2), RM128 (PS3) dan terakhir merangkap harga tiket paling murah adalah RM78 (Manchester & Liverpool Reds).