Malaysian Football League (MFL) mengumumkan mencalonkan Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC (Kedah) untuk mengisi slot ke saingan ASEAN Club Championship (ACC) 2024-25.
Berdasarkan siaran media yang dikongsikan pada hari ini, MFL memaklumkan kedua-dua kelab terbabit dicalonkan atas kapasiti menamatkan saingan Liga Super 2023 di tempat ketiga dan keempat masing-masing.
Pencalonan oleh badan pengendali liga tempatan itu dibuat kepada penganjur ACC iaitu Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) melalui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bagaimanapun, MFL masih belum menerima maklum balas daripada AFF mengenai cadangan pencalonan terbabit.
Baca – Liga Super: Sabah Potong ‘Tang Kona’ – Rampas No.3 & Hadiah RM1.5 Juta
Untuk pengetahuan semua, idea penganjuran ACC oleh AFF adalah untuk menghimpunkan 12 kelab merangkumi kelab-kelab yang menjuarai liga serta beberapa naib juara liga daripada negara masing-masing di rantau asia tenggara.
Pada mulanya, AFF mahu melangsungkannya semula pada tahun 2020. Akan tetapi, keputusan itu terpaksa ditangguhkan sebelum dibatalkan ekoran pandemik Covid-19 menular ke pelbagai negara termasuk di rantau ini.
Menerusi laporan media dari rantau asia tenggara, difahamkan, AFF bersedia untuk menganjurkan ACC pada tahun ini dan memulakan pusingan kelayakan pada bulan Julai diikuti saingan peringkat kumpulan dari Ogos 2024 sehingga Februari 2025.
Sementara itu perlawanan peringkat separuh akhir dan akhir pula dijangka akan dilangsungkan pada bulan April dan Mei 2025.
Baca: Kedah Kutip Sekitar RM2 Juta Menerusi Jualan Tiket Musim 2023
Terdapat laporan mengatakan jumlah keseluruhan wang ganjaran adalah bernilai lebih daripada AS$1 juta atau bersamaan kira-kira RM4.7 juta.
Setiap kelab yang beraksi dalam saingan ACC akan meraih wang penyertaan disamping tambahan wang sekiranya mara dengan lebih jauh dalam kejohanan ini.
Sepertimana kita sedia maklum, juara dan naib juara Liga Super 2023 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC akan beraksi dalam saingan antarabangsa yang lebih tinggi anjuran Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) iaitu Liga Juara-Juara AFC Elit dan Liga Juara-Juara AFC 2.
Featured Image: Sabah FC