Sepak Mula Liga Malaysia 2024-25 Dianjak Ke 10-12 Mei
January 31, 2024 Hafizuddin Omar

Pengelola liga tempatan iaitu Malaysian Football League (MFL) membuat pengumuman terbaru mengenai sepak mula Liga Malaysia 2024-25 dimana ianya tidak akan bermula pada 3hb – 5hb Mei. 

Sebaliknya, permulaan musim baharu Liga Malaysia itu dianjak kepada 10hb – 12hb Mei 2024.

Perubahan terbabit hadir ekoran pertukaran tarikh pemeriksaan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

Sebelum ini, pemeriksaan oleh FIFA itu dijadualkan dijalankan ada Februari 2024. Bagaimanapun, ianya ditukar kepada tarikh baharu iaitu dari 16hb hingga 21hb April 2024.

Selepas pemeriksaan oleh badan induk dunia terbabit, MFL akan mengadakan siri perlawanan ujian sistem VAR bermula dari 22hb April hingga 5hb Mei 2024.

Baca: 20 Pengadil Tempatan Sertai Latihan VAR Fasa 3, Persediaan Menjelang Musim Depan

Baca: Puasa, Hari Raya Antara Faktor Sepak Mula Liga Malaysia 2024-25 Dilewatkan

“Siri perlawanan ujian VAR melibatkan kelab-kelab Liga Malaysia yang bakal diadakan pada 22hb April hingga 5hb Mei 2024 itu hanya boleh dilakukan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendapat kelulusan daripada FIFA.” jelas MFL dalam satu kenyataan rasminya.

Sepertimana diumumkan sebelum ini, sistem VAR yang digunakan dalam saingan Liga Malaysia kelak berkonsepkan mobil VAR.

Justeru, siri perlawanan ujian itu penting buat MFL untuk menguji kestabilan, kekukuhan dan ketahanan sistem VAR dalam perlawanan kompetitif yang disiarkan secara langsung.

Malahan siri perlawanan ujian itu juga penting buat MFL menguji pergerajkan mobil VAR ke venue-venue, pengurusan penyiaran, pemahaman pegawai dan pasukan serta tahap kesediaan kemudahan venue terlibat.

Disebabkan perkara ini, MFL terpaksa menganjakkan sepak mula Liga Malaysia 2024-25 lewat seminggu berbanding tarikh asal sepertimana diumumkannya pada penghujung Disember lalu.

Komen