Selangor FC Sambar Khidmat Penjaga Gol Skuad B-23 Kebangsaan – Azim Al Amin
February 5, 2024 Hafizuddin Omar

Kerancakan naib juara Liga Super 2023, Selangor FC ‘membeli-belah’ pemain baharu diteruskan dengan kemasukan penjaga gol skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan iaitu Azim Al Amin Kamaruddin.

Skuad berjulukan Red Giants mengumumkan kemasukan bekas pemain kelab seteru setempatnya, Kuala Lumpur City FC (KL City) yang berusia 22 tahun terbabit menerusi satu kenyataan rasmi pada hari ini.

Keputusan skuad kendalian Tan Cheng Hoe mengikat khidmat Azim dilihat untuk meningkatkan lagi kedalam skuad (squad depth) Selangor terutamanya di posisi penjaga gol lebih-lebih lagi untuk menghadapi saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) disamping pertandingan domestik.

Baca: Undian Piala Asia B-23: Malaysia Sekumpulan Finalis Edisi 2018

Baca: Gandingan Jurulatih Sepanyol-Melaka Ramuan FAM Hadapi Piala Asia B-23

Untuk makluman, nama Azim menjadi bualan peminat bola sepak tempatan apabila mempamerkan aksi cemerlang buat skuad B-23 kebangsaan ketika menentang China B-23 dalam aksi persahabatan pada Disember lalu.

Pada April kelak, nama Azim dijangka dipanggil ketua jurulatih skuad B-23 negara, Juan Torres Garrido untuk mengharungi saingan Piala Asia B-23 – pertandingan yang turut memberikan slot ke temasya Sukan Olimpik 2024 Paris – di Qatar.

Sebelum itu, Azim turut menjadi individu penting yang membantu KL City mara ke perlawanan akhir Piala FA 2023 ketika beraksi pada peringkat separuh akhir menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMAZA).

Dengan kemasukan Azim, Selangor kini mempunyai lima penjaga gol secara keseluruhan disamping Khairulazhan Khalid, Sam Somerville, Sikh Izhan dan Syahmi Adib bagi mengharungi saingan musim 2024-25.

Terdahulu, Selangor mengumumkan mengikat tiga pemain import baharu menjelang saingan musim baharu iaitu Umarbek Eshmurodov, Ronnie Fernandez dan Alvin Fortes.

Featured Image: FAM

Komen