MSN Naikkan Gaji Jurulatih Program Podium & Pelapis Kebangsaan
February 7, 2024 Hafizuddin Omar

Jurulatih sepenuh masa yang berkhidmat untuk Program Podium dan Pelapis Kebangsaan akan menikmati kenaikan gaji berdasarkan kepada tahap kelayakan mengikut Skim Pensijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) dan tempoh pengalaman dalam bidang kejurulatihan.

Kenaikan itu hadir selepas Mesyuarat Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara (MSN) yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, semalam, meluluskan penyelarasan jumlah gaji dan imbuhan baharu untuk Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan (SPJK) berkuatkuasa dari 1 Januari 2024.

Kenaikan itu menyaksikan jurulatih dengan sijil SPKK Tahap 3 – kelayakan tertinggi yang diperakui Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) – akan menikmati kenaikan gaji daripada RM4,500 sebulan kepada RM5,900 sebulan mengikut penyelarasan yang baru diluluskan ini.

Baca – TMJ: Tahukah Anda, Berapa Gaji Arif Aiman Tahun Lepas? RM11,000 Sahaja

Baca – Ronaldo Rampas Kedudukan Messi Dalam Senarai 10 Atlet Berpendapatan Tertinggi Dunia 2023 Oleh Forbes

Pada masa yang sama, elaun khas berjumlah RM600 juga diluluskan untuk semua jurulatih Program Podium dan Pelapis Kebangsaan (kecuali jurulatih pinjaman ataupun pelepasan oleh majikan) manakala elaun jurulatih separuh masa turut dinaikkan berdasarkan kepada kelayakan SPKK masing-masing.

Selain itu, bagi menggalakkan lebih ramai bekas atlet negara menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan, imbuhan gaji tambahan juga diberikan berdasarkan pencapaian terbaik ketika bergelar atlet.

Contohnya, bekas atlet yang menjadi jurulatih sepenuh masa dan memiliki pencapaian pingat di temasya Sukan Olimpik ataupun Sukan Paralimpik diberikan imbuhan gaji tambahan RM3,500 sebulan.

Manakala pencapaian pingat di Kejohanan Dunia pula akan menerima imbuhan gaji tambahan sebanyak RM3,000.

Dimaklumkan penyelarasan terhadap Skim Pekerjaan Jurulatih Kebangsaan ini diluluskan sebagai penambahbaikan kepada kadar sedia ada dalam skim yang kali terakhir disemak pada tahun 2014.

Featured Image: KBS Malaysia

Komen