Logo Syarikat Pembinaan Hiasi Belakang Jersi Latihan Terengganu FC
February 7, 2024 Hafizuddin Omar

Bahagian belakang jersi latihan skuad Terengganu FC akan memaparkan logo sebuah syarikat pembinaan yang berpangkalan di Negeri Terengganu iaitu MS Citajaya bermula musim 2024-25.

Menerusi foto-foto yang dikongsikan, bahagian belakang jersi latihan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner ini juga memaparkan logo al-ikhsan.com – penaja kitnya.

Menariknya, terdapat logo Koridor Utiliti Teknologi Terengganu (KUTT) – syarikat yang belum diperkenalkan secara rasmi oleh Terengganu FC – di bahagian lengan kanan jersi latihannya.

MS Citajaya menghiasi jersi latihan setelah syarikat terbabit diperkenalkan sebagai ‘Penaja Silver’ baharu susulan menandatangani kontrak penajaan bersama Terengganu FC dalam satu majlis yang berlangsung pada hari ini.

Baca: Hannah Terkejut Terengganu Turut Mohon Geran Naik Taraf Saliran & Tukar Rumput KBS

Baca: Logo Rolling Stones Hiasi Jersi Barcelona Semasa El Clásico

Dimaklumkan MS Citajaya memberikan sumbangan sepenuhnya dalam bentuk kewangan namun jumlahnya tidak dikongsikan kepada umum.

Bagaimanapun, dua entiti yang memeterai perjanjian kerjasama dan penajaan bersama Terengganu FC selaku ‘Penaja Silver’ iaitu rangkaian Klinik Perubatan Hijraa dan Estiflex memberikan penajaan berbentuk kewangan, barangan dan perkhidmatan bernilai RM500,000 dan RM250,000 masing-masing.

Untuk makluman, kontrak perjanjian penajaan antara MS Citajaya dan Terengganu FC itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MS Citajaya, Nurhazman Syaqir Chan dan CEO Terengganu FC, Mohd. Sabri Abas.

Sesi tandatangan itu juga turut disaksikan oleh Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, YB Hishamuddin Abdul Karim merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu FC serta Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Featured Image: Terengganu FC

Komen