Hannah Terkejut Terengganu Turut Mohon Geran Naik Taraf Saliran & Tukar Rumput KBS
February 6, 2024 Hafizuddin Omar

Maklum balas daripada kerajaan Negeri Terengganu yang turut sama memohon geran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi menaik taraf sistem saliran dan penukaran rumput mengejutkan Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.

Reaksinya itu lahir berikutan Negeri Terengganu telah memiliki padang yang berkualiti menggunakan rumput jenis Bermuda Princess 77 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) – gelanggang rasmi bagi Terengganu FC.

“Itulah saya pun terkejut kerana dalam social media katanya (kondisi padang) ‘top-top’ kan,”

“Tapi ada permintaan-permintaan yang lain tetapi kita dalam peruntukan ini yang kita sediakan hanya untuk dua tujuan sahaja, satu adalah untuk sistem saliran dan satu adalah untuk penukaran rumput supaya liga boleh berjalan (ketika musim hujan),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani MoU Antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan F&N Beverages Marketing, pada hari ini.

Baca: Selangor FC Kekal Bermain Atas ‘Cow Grass’ Musim 2024-25

Baca: Selangor FC Rancang Bina Sistem & Aplikasi – Boleh Pesan Makanan, Hantar Ke Tempat Duduk Dalam Stadium

Menurut Hannah, setakat ini, hanya tiga buah kerajaan negeri sahaja yang telah memberikan maklum balas untuk memohon geran disediakan oleh KBS yang bernilai RM500,000 terbabit.

“Setakat ini saya tahu tiga negeri telah bagi maklum balas kepada kita (iaitu) Negeri Sembilan, Terengganu dan yang terkini adalah Perak,”

“Tetapi kita menggesa kerajaan negeri yang belum memberi maklum balas kepada kita untuk segera (melakukannya) kerana liga akan bermula dan kita akan berbincang dengan MFL,”

“Duit kita dah sedia tetapi kita nak pastikan sebelum kita turunkan duit itu, duit itu betul-betul sampai (kepada) matlamat kita iaitu untuk naik taraf sistem saliran padang yang dipilih dan yang keduanya adalah untuk menggantikan rumput yang sesuai supaya liga boleh berjalan dalam musim hujan,” jelasnya.

Baca – Menteri: Tawaran Peruntukan Naik Taraf Rumput Padang Setiap Negeri Oleh KBS Idea TMJ

Baca: Kerteh FC Mohon Salur Peruntukan Naik Taraf Padang Kepada Kerteh Sports City

Secara pecahannya, geran oleh KBS itu memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk naik taraf sistem saliran dan RM200,000 bagi penukaran rumput dimana jenis rumput itu terserah kepada kerajaan negeri atau pihak pengurusan stadium untuk menentukannya.

Untuk makluman, KBS menawarkan geran sebanyak RM500,00 terbabit bagi membantu menyelesaikan isu padang yang kurang baik digunakan oleh kelab-kelab Liga Malaysia selain mengelak penundaan perlawanan dalam saingan liga akibat hujan lebat.

Bahkan tawaran terbabit diperbaharui setelah tawaran program penukaran rumput oleh KBS yang terdahulu tidak disambut oleh kerajaan-kerajaan negeri dengan alasan masalah sistem saliran serta kos penyelenggaraan yang tinggi.

Sementara itu, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) turut berkenaan menyumbang sebanyak RM300,000 untuk penyelenggaraan padang bagi tahun pertama kepada setiap kelab yang menaik taraf padang menerusi geran KBS tersebut.

Komen