Mohon Geran KBS Untuk Baiki Sistem Saliran SSMZA – Exco Sukan Terengganu
February 9, 2024 Hafizuddin Omar

Padang bola sepak Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang menggunakan rumput jenis Bermuda Princess 77 sering disebut-sebut antara yang terbaik di Malaysia.

Namun begitu, padang terbabit mempunyai beberapa kelemahan dan salah satu daripadanya adalah sistem salirannya. Masalah terbabit menyebabkan beberapa lopak dan takungan air dapat dilihat dengan jelas apabila turunnya hujan lebat yang mencurah-curah.

Menyedari keadaan tersebut, Kerajaan Negeri Terengganu mengambil peluang untuk memanfaatkan geran yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mengatasi masalah tersebut disamping meningkatkan lagi kualitinya.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), YB Hishamuddin Abdul Karim.

Baca: JDT Menjadi ‘Benchmark Club’ Di Malaysia, Contoh Ikutan – Hishamuddin

“Ya betul (Kerajaan Negeri Terengganu mohon geran KBS). Untuk Stadium Sultan Mizan. Baiki saliran padang dan menambah kualiti rumput padang,” katanya ketika dihubungi Sukanz.

Menurut perkongsian lanjut oleh Hishamuddin, ketika proses baik pulih dan menukar rumput padang SSMZA kepada jenis Bermuda Princess 77 dilakukan sekitar tahun 2019 tidak melibatkan sistem saliran sepenuhnya.

“Ia masih mengekalkan sistem saliran yang lama,” jelasnya yang juga merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Terengganu Football Club (TFC).

“Oleh kerana itu, walaupun padang ini antara yang terbaik, ia masih lagi berdepan dengan beberapa kelemahan yang perlu diatasi secara konsisten.” tambahnya.

Baca: Selangor FC Kekal Bermain Atas ‘Cow Grass’ Musim 2024-25

Justeru, Hishamuddin menyambut baik tawaran geran KBS bernilai RM500,000 – secara pecahannya RM300,000 untuk saliran dan RM200,000 bagi penukaran rumput – ini kerana objektif utamanya adalah untuk melihat perjalanan Liga Malaysia lebih berkualiti dan lebih kompetitif.

Bagaimanapun, Hishamuddin menekankan bahawa permohonan Kerajaan Negeri Terengganu kepada KBS itu tidak membabitkan perkara lain melainkan khusus kepada saliran padang dan menaik taraf rumput sedia ada – rumput jenis Bermuda Princess 77.

“Soal amaun, terpulang pada pandangan pihak kementerian. Usaha kami lakukan terlebih dahulu untuk memohon. Melihat objektif dan matlamat yang telah dinyatakan secara jelas.” ujarnya lagi.

Biarpun permohonan geran baru sahaja dilakukan dan belum menerima dana terbabit, Hishamuddin mengesahkan kerja-kerja untuk memperbaiki sistem saliran di SSMZA itu sudah dimulakan secara dalaman memandangkan saingan liga domestik sedang berehat.

“Kita tidak boleh menunggu lama dalam tempoh rehat (Liga Malaysia) ini untuk baiki ‘hot spot’ bermasalah secara ‘in house’,”

“Proses percubaan untuk selesaikan masalah yang berlaku secara meminimakan permasalahan takungan air,” katanya lagi.

Baca: Hannah Terkejut Terengganu Turut Mohon Geran Naik Taraf Saliran & Tukar Rumput KBS

Pada Selasa lalu ketika ditemui para pengamal media, Menteri Belia dan Sukan iaitu YB Hannah Yeoh memberikan reaksi terkejut apabila Kerajaan Negeri Terengganu turut memohon geran KBS terbabit walaupun sudah mempunyai padang yang berkualiti.

Mengulas mengenai reaksi terkejut daripada Hannah itu, Hishamuddin berkata, “saya percaya pihak Kementerian Belia dan Sukan Malaysia di bawah pimpinan YB Puan Hannah Yeoh juga amat menyokong usaha-usaha bersama ini demi melihat agenda pembangunan bola sepak negara terus diperkasakan.”

“Saya percaya YB Menteri ‘terkejut’ atas permohonan Terengganu kerana disebut-sebut padang ini ‘top-top’ dalam media sosial dan kerana sering disebut-sebut antara padang terbaik di Malaysia.”

“Untuk kami pula, walaupun disebut antara yang terbaik, kami akui ia masih ada kelemahan dan padang ini perlu ditingkatkan lagi kualiti dan proses penjagaannya untuk kekal bertahan dalam tempoh yang lama dan sentiasa yang terbaik.”

“Semoga hasrat ini menjadi kenyataan buat bola sepak Malaysia.”

Featured Image: Facebook Hishamuddin Abdul Karim

Komen