Terengganu Ikat Penyerang Nigeria Berketinggian 1.90 Meter – Kontrak Semusim
February 14, 2024 Hafizuddin Omar

Selepas membawa masuk beberapa muka baharu dalam kalangan pemain tempatan, naib juara Piala Malaysia 2023, Terengganu FC tampil mengumumkan kehadiran pemain import baharunya yang pertama.

Menerusi makluman rasmi oleh pihak kelab, pemain import pertama yang diumumkan tersebut ialah Ismaheel Akinade – penyerang kelahiran Nigeria berusia 30 tahun berketinggian 1.90 meter (m).

Kehadiran pemain tersebut diumumkan menerusi satu video berdurasi 43 saat yang dikongsikan di pelbagai platform media sosial milik kelab berkenaan serta satu kenyataan rasmi di laman sesawang rasminya.

Dimaklumkan, pemain yang pernah menyarung jersi Kelatan FC dan Kelantan United FC sepanjang musim lepas ini diikat oleh Terengganu FC bimbingan Tomislav Steinbruckner dengan kontrak selama semusim.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Terengganu Football Club️️ (@officialterengganufc)

Baca: Mohon Geran KBS Untuk Baiki Sistem Saliran SSMZA – Exco Sukan Terengganu

Baca: Rahadi Perlu Ke Kelab Lain Untuk Jadi Penjaga Gol No.1, Kata Tomislav

Sebagai rekod, sepanjang bersama dua kelab dari negeri Che Siti Wan Kembang itu, Ismaheel berjaya meledak sebanyak 10 kali selain mencetak enam bantuan gol buat rakan sepasukannya ketika beraksi dalam kancah Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Tidak ketinggalan, Ismaheel turut mempunyai catatan satu gol ketika beraksi dalam kempen Challenge Cup.

Untuk makluman, Terengganu FC berhasrat untuk menggunakan khidmat enam pemain import sahaja pada musim 2024-25.

Kehadiran Ismaheel menjadikan Terengganu FC kini memiliki tiga pemain import setakat ini disamping dua daripadanya merupakan pemain musim lalu yang dikekalkan oleh pihak pengurusan – Ivan Mamut dan Nurillo Tukhtasinov.

Featured Image: Terengganu FC

Komen