COO AFL: Mungkin Ada Ruang Kelantan Sertai Liga M3
February 20, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan yang ditendang daripada saingan Liga Super 2024-25, Kelantan FC ekoran gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan mempunyai ruang untuk beraksi dalam saingan Liga M3 atau nama komersilnya MBSB Bank Championships 2024-25.

Dimaklumkan, kelab berpangkalan di pantai timur yang dimiliki oleh ahli perniagaan dan pelaburan, Norizam Tukiman telah membuat permohonan untuk menyertai saingan tersebut.

Permohonan Kelantan FC untuk beraksi dalam saingan Liga M3 itu turut disahkan sendiri oleh pihak Amateur Football League (AFL) menerusi Ketua Pegawai Operasi (COO), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad.

Bagaimanapun, permohonan Kelantan FC itu belum diberikan “lampu hijau” oleh AFL dan ruang penyertaan itu bergantung sekiranya terdapat sebarang penarikan diri kalangan 14 pasukan yang layak secara merit. 

“Saya tak nafikan kita ada terima permohonan rasmi daripada Kelantan FC untuk bermain di MBSB Bank Championships,” 

“Cumanya seperti saya maklumkan sebelum ini, fokus kita adalah untuk 14 pasukan yang layak secara merit,”

Baca: Penswastaan Demi Penswastaan Gagal, Sampai Masanya Kelantan Dapat Bantuan ‘Istana’

Baca: Rayuan Kelantan Ditolak, Tak Layak Main Liga Super

“Jadi, kalau kata permohonan Kelantan, ya kita terima dan kita pun evaluate (menilai) juga permohonan tersebut, cumanya diletakkan asing daripada 14 pasukan,

“Kalau kata ada sebarang penarikan diri atau kalangan 14 pasukan ini mungkin tidak boleh memberikan sebarang pengesahan, mungkin ada ruang untuk pasukan Kelantan,”

“Buat masa sekarang kita tak boleh announce (umum) lagi lah samada permohonan Kelantan itu telah diluluskan, diterima dan sebagainyalah,” katanya ketika ditemui oleh pengamal media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Raimi turut menjelaskan keputusan samada Kelantan FC dapat beraksi dalam saingan Liga M3 akan dibuat oleh Lembaga Pengarah AFL disamping merujuk kepada badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkenaan berkenaan beberapa isu dan sekatan-sekatan sekiranya ada.

Menurutnya, 14 pasukan yang layak secara merit itu terdiri daripada 10 buah pasukan daripada saingan Liga M3 musim 2023 serta juara dan naib juara Liga M4 atau Al-Ikhsan Cup 2023.

Komen