Pasukan yang menamatkan saingan Liga Super di tempat kesembilan pada musim lalu, Negeri Sembilan FC (NSFC) masih merahsiakan identiti ketua jurulatih baharunya untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2024-25.
Namun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC yang baru dilantik sekitar pertengahan Januari lalu, Faliq Firdaus memberikan beberapa bayangan mengenai individu yang akan dilantik sebagai ketua jurulatih skuad berjulukan Hoben Jang Hoben.
“It’s a local coach, jurulatih tempatan dan jurulatih ni berpengalaman juga melatih pasukan Liga Super pada musim lepas,” katanya ketika ditemui pengamal media selepas Medical Conference 2024 anjuran Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), semalam.
Antara bayangan tambahan yang diberikan oleh Faliq, ketua jurulatih berkenaan pernah bersama NSFC (atau nama lamanya Negeri Sembilan FA) sebelum ini.
Tambah Faliq lagi, pengumuman mengenai ketua jurulatih baharu yang akan menggantikan K. Devan itu akan dilakukan pihaknya pada awal Mac kelak.
Baca: NSFC Ganti K. Devan, Lantik CEO Baharu
Baca: Mustapha Nagoor Exco Pembangunan Belia & Sukan Negeri Sembilan
Sementara itu, NSFC dilihat tidak akan memenuhkan kuota sembilan pemain import sebagaimana yang dibenarkan oleh penganjur liga tempatan, Malaysian Football League (MFL).
Sebaliknya, NSFC bercadang untuk menggunakan khidmat lima pemain import sahaja untuk mengisi beberapa posisi penting dalam kesebelasan utama.
“Lima pemain ni daripada various country (pelbagai negara), ada di position centre back (bek tengah), defensive midfielder (pemain tengah bertahan), attacking midfielder (pemain tengah menyerang), striker (penyerang),” jelasnya.
Tiada sebarang bayangan khusus diberikan mengenai pemain-pemain import tersebut namun difahamkan pemilihan para pemain itu telah dibincangkan secara bersama dengan ketua jurulatih baharu, barisan kejurulatihan termasuk Pengarah Teknikal baharunya, Effendi Abdul Malek.