Penyerang Naturalisasi Kebangsaaan Sertai Juara Liga Super 10 Kali
Hafiz Omar
Pemain kelahiran Colombia yang kini menjadi rakyat Malaysia serta penyerang skuad kebangsaan, Romel Morales menyambung kariernya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) – juara Liga Super 10 kali berturut-turut.
Penyertaan penyerang berusia 26 tahun bersama skuad berjulukan Harimau Selatan itu disahkan menerusi satu video pengenalan pemain berdurasi 42 saat yang dikongsikan di pelbagai platform media sosial milik JDT, semalam.
Menariknya, video itu disertakan dengan babak Morales memotong dan menggoreng lada benggala berwarna merah dan kuning. Kemudiannya, masakan itu dihidangkan di atas meja sebelum dibuang ke dalam tong sampah.
View this post on Instagram
Baca: Penyerang Colombia Sah Dapat Kad Pengenalan, Tersenarai Dalam Kem Latihan Pusat Harimau Malaya
Menerusi video itu juga, Morales didedahkan akan menyarung jersi bernombor 19 bersama JDT – nombor yang disarung oleh pemain sayap kelahiran Kedah, Akhyar Rashid sebelum ini.
Kedatangan Morales pastinya menambahkan lagi pilihan buat ketua jurulatih, Hector Bidoglio untuk mengisi posisi penyerang di bahagian serangan JDT untuk mengharungi saingan Liga Malaysia dan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACL Elit) 2024-25 kelak.
Baca: JDT Lantik Semula Hector Bidoglio Sebagai Ketua Jurulatih
Ketika bersama skuad kebangsaan dalam saingan Piala Asia 2023 di Qatar baru-baru ini, Morales mencipta sensasi dalam kalangan penyokong skuad kebangsaan apabila jaringannya di penghujung permainan membolehkan skuad Harimau Malaya mengikat salah satu gergasi asia, Republik Korea dengan keputusan 3-3.
Untuk makluman, Morales menyertai JDT selaku pemain berstatus ejen bebas selepas tidak menyambung kontraknya bersama skuad berpangkalan di ibu kota merangkap naib juara Piala AFC 2022, Kuala Lumpur City FC (KL City) pada penghujung tahun lalu.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers