Artikel

Terengganu Mahu Wujudkan Nurseri Rumput Bermuda Bersebelahan SSMZA

Sebuah nurseri serta tapak pembenihan rumput jenis Bermuda Princess 77 akan diwujudkan bersebelahan dengan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) – gelanggang rasmi buat Terengganu FC.

Seperti ramai telah ketahui, padang bola sepak di SSMZA menggunakan rumput jenis Bermuda Princess 77 yang ditanam sekitar tahun 2019.

Justeru, nurseri serta tapak pembenihan rumput Bermuda Princess 77 yang akan diwujudkan kelak adalah bertujuan untuk menyediakan rumput gantian sekiranya berlaku kerosakan pada mana-mana bahagian padang di stadium berkapasiti sekitar 50,000 tempat duduk terbabit.

Hasrat untuk mewujudkan nurseri bagi memastikan kualiti padang SSMZA sentiasa terjaga sepanjang masa itu dimaklumkan sendiri oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu iaitu YB Hishamuddin Abdul Karim.

Baca – Liga Super: Ganjaran RM1 Juta Jadi Milik Terengganu

“Komitmen kami untuk memastikan penjagaan padang ini sentiasa diberikan perhatian,” 

“Satu kawasan nurseri dan pembenihan rumput Bermuda Princess 77 akan diwujudkan bersebelahan stadium untuk dijadikan sebagai gantian rumput rosak dalam kawasan padang.” kongsinya yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menerusi satu hantaran di akaun media sosial peribadinya.

Difahamkan, pihaknya sedang mengenal pasti lokasi yang sesuai di sekitar SSMZA untuk dijadikan nurseri dan tapak pembenihan terbabit.

Baca: SSI Bakal Beralih Kepada Padang Jenis Hybrid?

Dijangka pembinaan nurseri itu akan didanai oleh Kerajaan Negeri atau Terengganu FC namun begitu Hishamuddin tidak menolak untuk menggunakan dana daripada geran naik taraf saliran dan penukaran rumput bernilai RM500,000 secara keseluruhan yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) – sekiranya dibenarkan.

“Jika geran KBS mencakupi objektif ini, kami berbesar hati untuk menggunakan geran ini demi kualiti rumput padang (SSMZA).” katanya apabila dihubungi oleh Sukanz.

Terdahulu, Hishamuddin mengesahkan Kerajaan Negeri Terengganu memohon geran yang disediakan oleh KBS itu bagi memperbaiki saliran padang SSMZA.

Featured Image: Terengganu FC

komen