Malaysia vs Oman: Kalau SNBJ Tak Bagus, SSI & SSMZA ‘Pelan B’
February 26, 2024 Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mempunyai ‘pelan B’ sekiranya padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak berada dalam keadaan optimum untuk perlawanan melibatkan Malaysia dan Oman pada 26hb Mac kelak.

‘Pelan B’ itu muncul sebagai langkah proaktif susulan berlangsungnya Konsert Ed Sheeran di stadium berkapasiti sekitar 87,000 tempat duduk pada Sabtu lalu.

‘Pelan B’ tersebut adalah menggunakan samada Stadium Sultan Ibrahim (SSI) atau Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) sebagai venue perlawanan bagi aksi keempat peringkat Kumpulan D, pusingan 2 kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Selepas konsert (Ed Sheeran) tersebut saya dah maklum kepada Pengerusi PSM, Dato’ Hans Isaac, saya akan pergi melawat ke sana (SNBJ) bersama pasukan pada awal Mac,

“Kita akan tengok keadaan (padang) pada masa itu,”

“Kalau keadaan (padang) tak bagus kita pergi tempat lain,” kata Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin ketika ditemui oleh para pengamal media selepas Town Hall Bola Sepak Wanita di Petaling Jaya, pada hari ini.

Baca: Terengganu Mahu Wujudkan Nurseri Rumput Bermuda Bersebelahan SSMZA

Tambahnya lagi, pengesahan samada SNBJ selaku venue atau beralih kepada SSI mahupun SSMZA akan ditentukan sejurus sahaja pihaknya membuat lawatan pada awal Mac nanti.

Difahamkan SSI dan SSMZA menjadi pilihan pertama dan kedua masing-masing buat FAM kerana ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mahukan padang yang berkualiti bagi perlawanan terbabit.

Bagaimanapun, Hamidin belum memaklumkan lagi hasratnya kepada Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail bagi menggunakan SSI sebagai venue bagi perlawanan bertemu Oman pada 26hb tersebut.

Sebelum ini, padang SNBJ yang menggunakan rumput jenis zeon zoysia berada dalam keadaan tidak optimum selepas berlangsungnya Konsert Coldplay pada November tahun lalu.

Beberapa bahagian padang rumput itu mengalami kerosakan terutamanya di kawasan yang dibina pentas dan menara sistem audio.

Akan tetapi, pada Sabtu lalu, pemilik SNBJ iaitu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memaklumkan mengambil langkah awal dengan memindahkan rumput di berada di bawah pentas dan menara sistem audio ke tempat lain agar kekal terjaga.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen