Liga Wanita Nasional: Disertai 10 Pasukan, Format ‘Home-Away’, Hadiah Lebih Besar
February 27, 2024 Hafizuddin Omar

Arena bola sepak wanita tempatan menunjukkan perkembangan yang positif apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil dengan beberapa pembaharuan dalam saingan Liga Wanita Nasional (LWN) musim 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob ketika ditemui selepas Town Hall Bola Sepak Wanita di Petaling Jaya semalam memaklumkan saingan itu akan dimeriahkan dengan penyertaan 10 buah pasukan disamping menerapkan format baharu.

“LWN yang kita buat pembaharuan (dengan) serius adalah (penyertaan) 10 pasukan berbanding enam pasukan sahaja sebelum ini,”

“Kita akan ada (perlawanan) home (halaman sendiri) dan away (halaman lawan), dan yang paling penting adalah 95 perlawanan akan dimainkan (secara) keseluruhannya dengan hadiah yang lebih besar,” katanya.

Baca: FAM Anjur Kejohanan Liga Puteri B-15, Inisiatif Perkasa Bola Sepak Wanita

Baca: ISN Wujudkan Perkhidmatan Klinik Kesihatan Khusus Untuk Atlet Wanita

Pada masa yang sama, Suraya melihat pembaharuan yang menyaksikan pertambahan jumlah perlawanan itu akan meningkatkan tahap kompetitif saingan tersebut disamping menjadi platform yang baik buat ketua jurulatih memilih pemain untuk menyertai skuad kebangsaan. 

“Kita percaya ini saingan yang sangat kompetitif untuk setiap pasukan dan mereka yang berada di pasukan-pasukan ini boleh dipilih untuk mewakili (skuad) Malaysia pada masa akan datang, terutamanya pada Sukan SEA yang akan datang,” ujarnya yang juga merupakan Pengurus Skuad Kebangsaan Wanita.

Bercakap mengenai LWN musim 2024, Suraya turut mendedahkan hadiah wang ganjaran yang menanti pasukan-pasukan turut ditingkatkan menjadi lebih besar namun begitu beliau masih mengunci mulut mengenai nilainya.

Sebagai rekod, saingan LWN 2023 menyaksikan Sabah yang muncul juara meraih ganjaran bernilai RM50,000. Manakala Kelana United FC dan Malaysian University yang muncul naib juara dan pemenang tempat ketiga pula membawa pulang RM30,000 dan RM20,000 masing-masing.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen