Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin tidak mendapat sebarang makluman mengenai hasrat juara dunia, Argentina untuk bertandang ke Malaysia dalam masa yang terdekat.
Sekitar pertengahan Februari lalu, wartawan Argentina, Leo Paradizo berkongsikan maklumat eksklusif yang menyatakan Malaysia serta Indonesia, India dan Amerika Syarikat dipertimbangkan menjadi venue bagi perlawanan persahabatan melibatkan skuad berjulukan La Albiceleste.
Hamidin bukan sahaja tidak mendapat sebarang makluman mengenai perkara itu bahkan beliau yang juga merupakan Ahli Majlis Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) turut menolak jika pasukan No.1 dunia itu ingin menentang Malaysia bimbingan Kim Pan-gon.
Baca: Jurulatih, Pemain & Penyokong Argentina Bolot Anugerah FIFA 2022
Baca: Messi Muncul Pemain Pertama Cetak 100 Gol Untuk Argentina
“Saya takde dengar, kalau dia nak lawan saya pun (Malaysia), saya tak minatlah, saya ada banyak kerja lain lagilah,” katanya ketika menjawab soalan wartawan selepas Town Hall Bola Sepak Wanita, di Petaling Jaya, semalam.
Menurut perkongsian Leo lagi, venue-venue itu sedang dipertimbangkan untuk Argentina yang dibarisi Lionel Messi serta bimbingan Lionel Scaloni melangsungkan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Nigeria dan Ivory Coast.
Sebagai rekod, kali terakhir Argentina beraksi di benua asia adalah ketika bertemu Indonesia pada 19 Jun 2023 di Stadium Gelora Bung Karno.
Pertembungan itu menyaksikan Argentina yang dibarisi beberapa pemain ternama antarabangsa seperti Julian Alvarez, Lo Celso, Alejandro Garnancho dan Emiliano Martinez meraih kemenangan 2-0.
Sebagai rekod, kedua-dua jaringan itu dihasilkan oleh Leandro Paredes dan Cristian Romero.
Featured Image: UEFA