JDT Racing Team Memperkenalkan Ahli Pasukan, Livery Jentera Untuk Hadapi ARRC 2024
March 1, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan perlumbaan milik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu JDT Racing Team tampil memperkenalkan ahli pasukan, jentera dan livery menjelang Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024, pada hari ini.

Seperti ramai ketahui, JDT Racing Team ini mempertaruhkan bekas pelumba MotoGP tanah air iaitu Hafizh Syahrin yang menggunakan jentera Ducati Panigale V4R yang dihiasi dengan warna merah dan biru – warna yang cukup sinonim dengan JDT.

Dimaklumkan, jentera itu akan diselia oleh dua mekanik yang didatangkan khas dari Ducati Racing Team iaitu Loris Carolli selaku ketua krew dan Edoardo Ardemagni sebagai mekanik – yang berpengalaman luas dalam sukan permotoran dua roda.

Baca: JDT Adalah Majikan Azam Azmi, Hidalgo & Adik Beradik Kembar Lambert

Baca: JDT Lepaskan Beberapa Pemain, Staf – Kurangkan Belanja Sehingga 40%

Untuk makluman, Hafizh telah menjalani ujian pramusim bersama jenteranya itu di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada penghujung Februari lalu.

JDT Racing Team akan memulakan perlumbaan Pusingan 1 saingan ARRC 2024 di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand dari 15hb hingga 17 Mac kelak.

Ianya diikuti perlumbaan Pusingan 2 di Litar Antarabangsa Zhuhai, China (19hb-21hb April); Pusingan 3 di Mobility Resort Motegi, Jepun (7hb-9hb Jun) dan Pusingan 4 di Litar Antarabangsa Pertamina Mandalika, Indonesia (26hb-28hb Julai).

Seterusnya, Pusingan 5 di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (13hb-15hb September) dan terakhir, Pusingan 6 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand (6hb-8hb Disember).

Sebagai tambahan, pembabitan JDT dalam arena sukan permotoran khususnya perlumbaan jentera dua roda ini merupakan yang keenam selepas terlibat dalam bola sepak, hoki ais, ragbi, futsal dan tinju.

Featured Image: JDT Racing Team

Komen