Pasukan berpangkalan di ibu kota, Kuala Lumpur City FC (KL City) sedang dalam perbincangan dengan penaja-penaja berpotensi untuk menaja pasukan terbabit.
Perkembangan tersebut dikongsikan sendiri oleh Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil merangkap Penaung KL City.
Bagaimanapun, Fahmi yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai tidak memberikan sebarang bayangan mengenai syarikat atau entiti yang berpotensi yang sedang dibincangkan.
“Kita dalam siri perbincangan (dengan penaja berpotensi), masih awal dan waktu ini belum lagi kita buat sebarang pengumuman, kebiasaannya beberapa minggu sebelum season (musim) bermula, jadi kita tunggulah, kita raya dahulu,” katanya ketika ditemui di Stadium Bola Sepak Cheras, baru-baru ini.
Baca: Perubahan Logo KL City, Boleh Kemuka Semasa ‘Town Hall’ Bulan Mei – CEO
Pada masa yang sama, Fahmi turut mempertimbangkan untuk mengisi kekosongan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) – pemilik majoriti KL City – yang ditinggalkan oleh Khalid Samad.
Namun begitu, Fahmi menegaskan, tumpuan utamanya pada ketika ini selaku Penaung KL City adalah memastikan tiada sebarang isu mengenai gaji, tahap kesiapsiagaan stadium dan perkara-perkara asas yang lain.
Tambahnya lagi, beliau telah melakukan perjumpaan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh bagi membincangkan mengenai perjanjian komersil antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersama KL City disamping Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KL City, Stanley Bernard sendiri turut menemui pihak DBKL.
“Saya percaya kita perlu selaraskan perkara-perkara ini,” tambahnya.
Sebagai rekod, Fahmi dilantik sebagai Penaung KL City yang ketiga dalam sejarahnya bermula Jun 2023 selepas Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Annuar Musa.
Featured Image: Kuala Lumpur City FC