Padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) – gelanggang rasmi skuad bola sepak kebangsaan – yang menggunakan rumput jenis zeon zoysia pada ketika ini akan ditukarkan kepada jenis hibrid.
Untuk pengetahuan, rumput hibrid tersebut merupakan kombinasi antara rumput tiruan dan rumput asli. Penggunaan rumput jenis sebegini telah digunakan di beberapa negara luar.
Perkembangan ini hadir selepas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail berkenan untuk mendermakan rumput hibrid yang sedang ditanam di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos buat stadium berkapasiti sekitar 87,000 tempat duduk berkenaan.
Antara alasan untuk menukarkan rumput zeon zoysia kepada jenis berkenaan adalah kerana rumput hibrid lebih memenuhi keperluan SNBJ selaku stadium pelbagai guna ekoran ketahanan dan fleksibilitinya untuk acara sukan dan bukan sukan.
View this post on Instagram
Baca: SSI Bakal Beralih Kepada Padang Jenis Hybrid?
“Inisiatif itu dititahkan oleh baginda selepas mengadakan pertemuan bersama YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan serta YBhg. Datuk Seri Windsor John, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini (semalam), 16 April 2024.” tulis kenyataan kelab.
Sejak tahun lalu, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selaku pemilik SNBJ sering mendapat kritikan dan cemuhan ekoran gagal menyediakan permukaan padang yang sempurna untuk perlawanan bola sepak lebih-lebih lagi selepas berlangsungnya konsert.
Baca: Selangor FC Kekal Bermain Atas ‘Cow Grass’ Musim 2024-25
Lebih malang, permukaan padang yang tidak sempurna itu telah menyumbangkan kecederaan kepada beberapa pemain skuad kebangsaan.
Sementara itu, PSM menerusi satu siaran media yang diedarkan pada pagi ini mengesahkan rumput zeon zoysia sedia ada yang turut didermakan oleh Tunku Ismail pada tahun lalu akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara (MSN), KL Sports City.
Ianya akan memberikan manfaat buat pelajar-pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pasukan-pasukan bola sepak luar negara yang sering menggunakan padang tersebut.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers