Padang SNBJ Sedia Untuk Pertembungan Legenda Liverpool & Man Utd

April 25, 2024
Uncategorized

Hafiz Omar

Permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada dalam keadaan bersedia untuk pertembungan yang dinamakan sebagai “Battle Of The Reds” melibatkan pasukan Liverpool Reds dan Manchester Reds pada Sabtu nanti.

Sebelum ini, keadaan serta mutu padang SNBJ yang menggunakan rumput jenis zeon zoysia itu menjadi polemik ramai terutamanya selepas berlangsungnya acara konsert di stadium berkapasiti sekitar 87,000 tempat duduk tersebut.

Pengesahan keadaan padang yang akan digunakan oleh Liverpool Reds dan Manchester Reds itu dikongsikan sendiri oleh Pengarah Eksekutif Projek “Battle Of The Reds”, Azman Fahmi ketika ditemui para pengamal media, semalam.

“Kami dah dimaklumkan oleh pihak stadium mereka dah menjalankan pelbagai cara untuk meningkatkan mutu padang,

“Bagi kami (keadaan) padang itu ‘fit to play’ boleh bermain, dan juga saya nak tekankan ini bukan perlawanan bertaraf FIFA atau AFC, jadi ini hanya perlawanan pertunjukan,” katanya.

Baca: Konsert Harris Jayaraj Pada 25 Mei Tak Sentuh Padang SNBJ – PSM

Untuk makluman, perlawanan ini menampilkan para legenda dan bekas pemain Liverpool dan Manchester United yang pernah mewarnai kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) suatu masa dahulu.

Semalam, pihak penganjur perlawanan, AllStar Sports tampil mengumumkan senarai penuh pemain-pemain yang membarisi kedua-dua pasukan tersebut.

Bagi Manchester Reds, ianya menampilkan Dwight Yorke selaku pengurusnya disamping mempertaruhkan Teddy Sheringham selaku kapten pasukan.

Manakala barisan pemain-pemainnya pula ialah David May, Wes Brown, Clayton Blackmore, Keith Gillespie, Ben Thornley, Eric Djemba Djemba, Paul Rachubka, Russell Beardsmore, Lee Martin, Danny Webber, Mikael Silvestre, Quinton Fortune, Dimitar Berbatov, Erik Nevland dan Dion Dublin.

Sementara itu, Liverpool Reds pula mengetengahkan David James sebagai pengurus pasukan sambil meletakkan Luis Garcia sebagai kapten. 

Senarai pemain-pemainnya pula merangkumi Emile Heskey, Glen Johnson, John Arne Riise, Patrik Berger, Vladimir Smicer, Steve McManaman, Jason McAteer, Florent Sinama, John Durnin, David Thompson, Jermaine Pennant, Djibril Cisse, dan Phil Babb.

Azman memaklumkan sebanyak hampir 25,000 keping tiket telah terjual dan mengharapkan sebanyak 30,000 secara keseluruhan terjual sehingga Sabtu nanti.

Pihaknya menawarkan enam kategori tiket yang berharga RM1,888 (VIP), RM268 (PS1), RM208 (PS2), RM128 (PS3), Manchester Reds/Liverpool Reds (RM78) dan WeCareJourney Box (RM108).

Baca: Pemilik JDT Derma Rumput Hibrid Untuk SNBJ – Lebih Tahan & Fleksibel

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd