Piala Asia B-23: Angkara Indonesia, Korea Julung Kali Gagal Ke Olimpik Selepas 1984
April 26, 2024 Hafizuddin Omar

Salah satu skuad gergasi bola sepak benua asia, Republik Korea buat julung kalinya gagal menempah tiket untuk beraksi dalam Sukan Olimpik selepas 40 tahun.

Ini berikutan Republiik Korea atau Korea Selatan Bawah 23 Tahun (B-23) tumpas di tangan Indonesia B-23 pada peringkat suku akhir Piala Asia B-23 2024, awal pagi tadi.

Lebih memedihkan, skuad berjulukan Young Taeguk Warriors itu tumpas di tangan pasukan yang mendapat bimbingan Shin Tae-yong – individu berdarah Korea yang pernah mengemudi skuad kebangsaan senior Korea di pentas Piala Dunia 2018.

Pertembungan sengit melibatkan kedua-dua pasukan itu berakhir dengan keputusan 2-2 selepas 90 minit permainan. 

Indonesia mendapat dua gol tersebut menerusi jaringan berganda daripada Rafael Struick (15’, 45+3’). Manakala gol oleh Korea pula terhasil menerusi jaringan sendiri pemain Indonesia, Komang Teguh (45’) dan Jeong Sang-bin (84’).

Baca: Ranking FIFA – Indonesia Pintas Malaysia, Catat Kenaikan Tertinggi Dunia

Kedudukan itu memaksa pengadil perlawanan, Shaun Evans dari Australia melanjutkan permainan ke masa tamabahan namun ianya kekal tanpa sebarang pertambahan jaringan sehingga minit ke-120.

Susulan kedudukan masih terikat, ianya terpaksa diheret pula ke penentuan sepakan penalti bagi menentukan pemenangnya.

Korea secara rasminya terkeluar daripada saingan Piala Asia B-23 dan gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik di Paris kelak setelah tewas penentuan sepakan penalti itu dengan keputusan 10-11.

Baca: Philippe Troussier, Vietnam Bercerai 2 Jam Selepas Tewas Kepada Indonesia

Sementara itu, Indonesia pula mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Piala Asia B-23 dan hanya selangkah sahaja lagi sebelum melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

Sebagai rekod, Indonesia pernah layak sebanyak satu kali ke temasya Sukan Olimpik ketika ianya berlangsung di Melbourne, Australia pada 1956.

Untuk maklumat, tiga pasukan terbaik Piala Asia B-23 akan mendapat tiket automatik ke Sukan Olimpik manakala pasukan keempat pula akan bermain aksi play-off menentang Guinea B-23 – pasukan keempat Piala Negara-Negara Afrika B-23 2023.

Featured Image: AFC

Komen