Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ menafikan ura-ura bahawa dirinya akan bertanding untuk mengisi kerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Bahkan beliau sendiri yang pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden FAM dari 2007 hingga 2010 tidak pernah terfikir untuk kembali ke badan induk bola sepak tanah air terbabit.
Namun begitu, KJ merasakan barisan kepimpinan FAM memerlukan peralihan agar dapat memacu perkembangan bola sepak negara untuk tempoh 5-10 tahun akan datang.
Bagi bekas Ahli Parlimen Rembau terbabit, beliau mahu melihat badan induk seperti FAM diketuai oleh individu yang mempunyai pengalaman dalam dunia korporat.
Baca: Orang Politik vs Orang Bukan Politik Pimpin Pasukan Bola Sepak
“Mungkin sudah tiba masa untuk perubahan di FAM, saya rasa pengurusan yang sedia ada dah buat kerja mereka tetapi oleh kerana kita nak melihat untuk 5 tahun 10 tahun akan datang, saya rasa sudah tiba masa untuk ada peralihan di FAM,
“Daripada segi siapa tu mungkin kita boleh pertimbangkan seorang yang ada pengalaman di luar daripada pengurusan sukan, saya suka kalau ada seorang yang ada pengalaman di dalam dunia korporat (sebagai) contoh sebab saya rasa daripada dunia korporat ni dia punya komitmen kepada pengurusan, kepada tatakelola sangat bagus, corporate governance,”
“Saya tak nak salahkan pengurusan yang sedia ada tetapi saya rasa pengurusan dan tatakelola itu dapat dimantapkan lagi,” katanya ketika ditemui para wartawan sukan, baru-baru ini.
Jelas KJ lagi, sekiranya FAM mempunyai pengurusan, kepimpinan, visi dan pelaksanaan yang baik maka para penyokong, peminat serta rakyat Malaysia akan dapat melihat peningkatan prestasi pasukan kebangsaan.
Baca: Penswastaan Demi Penswastaan Gagal, Sampai Masanya Kelantan Dapat Bantuan ‘Istana’
Beliau mengakui prestasi pasukan kebangsaan terutamanya skuad senior mempamerkan peningkatan sejak beberapa yang lepas walaupun merekodkan keputusan yang kurang memberangsangkan baru-baru ini ketika bertemu Oman dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Ini dapat dilihat dengan peningkatan daripada segi ranking dunia serta merekodkan kemenangan ke atas beberapa pasukan yang sebelum ini sukar untuk ditumpaskan oleh skuad Harimau Malaya.
Tambah KJ, perkara ini turut dipandu oleh kejayaan program naturalisasi akan tetapi beliau mengingatkan agar memberikan tumpuan kepada pembangunan pemain-pemain tempatan.
“So naturalization (naturalisasi) ada dia punya success (kejayaan), tapi kita jangan lupa kepada pembangunan players (pemain-pemain) tempatan, (Skuad) U23 agak kecewa baru-baru ini, kena fix (perbaiki) balik, dimanakah silapnya?
“Kalau kita tengok kejayaan (skuad) Indonesia sangat ketara sekali, tetapi saya rasa kita ada harapan yang bagus cuma kita nak kena ada pengurusan yang boleh membawa visi dan melaksanakan visi itu,” ujarnya.
Featured Image: Facebook Khairy Jamaluddin