Girona Julung Kali Ke UCL, Kekang Barcelona Juarai LaLiga
May 6, 2024 Hafizuddin Omar

Kelab yang ditubuhkan pada tahun 1930 iaitu Girona FC akan beraksi buat julung kalinya dalam kancah elit bola sepak eropah, Liga Juara-Juara UEFA (UCL) selepas melakar kemenangan ke atas FC Barcelona, awal pagi Ahad.

Skuad berjulukan Gironistes yang dimiliki oleh City Football Group (CFG) – juga memiliki Manchester City – melakar kemenangan 4-2 ke atas juara bertahan, Barcelona dalam perlawanan ke-34 LaLiga hasil jaringan berganda Portu (65’, 75’) serta satu gol daripada Artem Dovbyk (4’) dan Miguel Gutierrez (67’) masing-masing.

Sementara itu, dua jaringan oleh Barcelona pula hadir menerusi Andreas Christensen (3’) dan penalti daripada Robert Lewandowski (45’+1).

Baca: Pemilik Man City, CFG Ambil Alih Kelab Brazil – EC Bahia

Kemenangan yang dilakar di laman sendiri, Estadi Montilivi itu membolehkan Girona kendalian Michel Sanchez mengumpul 74 mata daripada 34 perlawanan.

Pungutan mata itu sudah tidak dapat dipintas lagi oleh pasukan di tangga kelima liga, Athletic Bilbao – kini mempunyai 61 mata – biarpun Girona tewas dan Athletic Bilbao menang dalam keempat-empat baki perlawanan LaLiga selepas ini.

Lebih mengujakan, Girona berhasil melayakkan diri ke saingan UCL selepas dua musim beraksi dalam saingan LaLiga – setelah mendapat promosi pada penghujung musim 2021-22.

Baca: Startup Malaysia Berpeluang Jadi Rakan Kongsi Real Madrid FC

Pada masa yang sama, kemenangan Girona itu juga telah mengekang Barcelona bimbingan Xavi daripada menjuarai saingan LaLiga musim sekaligus menghadiahkan kejuaraan tersebut kepada seterunya, Real Madrid yang sedang mendahului 87 mata.

Sebagai rekod, itu merupakan kejuaraan LaLiga kali ke-36 diraih Real Madrid sejak ianya dipertandingkan bermula tahun 1929.

Baca: Nombor Yang Pernah Digunakan Messi Bersama Barcelona & Argentina Selain No.10

Pada saat ini, Girona dan Barcelona yang menghuni tangga kedua dan ketiga LaLiga hanya dipisahkan dengan satu mata.

Untuk baki perlawanan bagi saingan liga musim, Girona akan menghadapi Alaves, Villareal, Valencia dan Granada.

Sementara itu, Barcelona pula akan berhadapan dengan Real Sociedad, Almeria, Rayo Vallecano dan Sevilla.

Featured Image: Girona FC

Komen