Kelantan FC milik ahli perniagaan dan pelaburan, Norizam Tukiman mendapat talian hayat sehingga hari esok (14hb Mei) untuk mendaftarkan minumum 20 orang pemain bagi menyertai saingan Liga A1 Semi-Pro (dahulunya dikenali sebagai Liga M3) musim 2024-25.
Terdahulu, Amateur Football League (AFL) selaku pengelola saingan bola sepak amatur tanah air menetapkan 8hb Mei sebagai tarikh akhir untuk skuad berjulukan The Red Warriors itu mendaftarkan mimimum 20 pemain tersebut.
Bagaimanapun, Kelantan yang kini dikenakan hukuman sekatan untuk mendaftarkan pemain baharu daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) meminta lanjutan masa daripada AFL.
Baca: Kelantan FC Nafi Ura-Ura Guna ‘Home’ Di Lembah Klang
“Kelantan (FC) kalau ikutkan sebelum ini tarikh akhir yang diberikan kepada mereka untuk mendaftarkan minimum 20 orang pemain adalah pada 8hb Mei,”
“Namun begitu, terdapat perbincangan yang mana pasukan Kelantan ni datang berjumpa dengan AFL untuk meminta sedikit penangguhan dan sudah tentu dia datang minta penangguhan itu dengan bukti-bukti yang menunjukkan mereka sedang berusaha (mengatasi kekangan yang dihadapi),”
“Jadi, AFL dengan penuh keikhlasan memberi tempoh lanjutan sehingga esok, 14hb Mei, apa yang kita minta dia buat 8hb Mei (daftarkan minimum 20 pemain) lanjutkan sehingga 14hb,” jelas Ketua Pegawai Operasi (COO) AFL, Mohd. Raimi Fakri Mohd. Fuad.
Baca: Manja Man Sasar Bawa Kelab Milik Zamsaham Ke Saingan Liga Super 2025-26
Sebagai rekod, Kelantan terpaksa memohon untuk bermain dalam saingan Liga A1 Semi-Pro selepas menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga tercorot selain ditolak permohonannya untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan oleh First Instance Body (FIB) dan ditolak rayuannya oleh pihak Jawatankuasa Rayuan (AB).
Sementara itu, Raimi memaklumkan AFL tidak mempunyai masalah untuk menjalankan saingan Liga A1 Semi-Pro dengan penyertaan sebanyak 15 pasukan sekiranya Kelantan terpaksa ditolak penyertaannya.
Untuk makluman semua, saingan Liga A1 Semi-Pro yang kini secara tidak rasminya menjadi saingan divisyen kedua bola sepak tanah air selepas Liga Super akan membuka tirainya pada 1 Jun kelak dan berakhir pada Februari 2025.
Featured Image: Kelantan FC