Tiket Di Stadium Darul Aman Paling Murah RM30 – Perlawanan Besar
May 14, 2024 Hafizuddin Omar

Kedah Darul Aman FC menetapkan harga jualan baharu bagi tiket perlawanan yang berlangsung di lamannya sendiri, Stadium Darul Aman, Alor Setar melibatkan kesemua kategori – Grandstand, Pavilion dan Teres.

Bukan itu sahaja, bermula saingan Liga Malaysia 2024-25, pihak pengurusan turut memperkenalkan struktur dua tier (tingkat) harga tiket mengikut taraf perlawanan berdasarkan reputasi pasukan dalam saingan liga.

Harga baharu bagi setiap kategori untuk setiap tier adalah seperti jadual di bawah:

ZonTier 1Tier 2
GrandstandRM50RM40
PavilionRM40RM30
TeresRM30RM20

Bagaimanapun, pihak pengurusan skuad berjulukan Sang Kenari belum menentukan sebarang pasukan atau perlawanan yang dikelaskan dalam Tier 1 atau Tier 2 buat masa ini.

Difahamkan, mereka akan menetapkan harga tiket pada Tier 1 tersebut melibatkan perlawanan besar atau diaktifkan mengikut situasi berdasarkan prestasi pasukan lawan dan permintaan tinggi tiket.

Sementara itu, harga tiket kanak-kanak bagi umur 12 tahun dan ke bawah kekal, RM10, bagi semua perlawanan untuk zon Pavilion dan Teres.

Manakala untuk kemasukan kanak-kanak di zon Grandstand pula dijual pada harga RM20.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman FC, Shahrul Samsudin menjelaskan keputusan menetapkan harga jualan baharu – dimana ianya lebih mahal berbanding musim lalu – dan memperkenalkan penjualan tiket berdasarkan struktur dua tier harga dibuat atas beberapa faktor. 

Antaranya, kelab berada dalam fasa pemulihan kewangan dan masih bertarung mencari alternatif untuk menstabilkan aliran tunai. Selain itu, mereka juga mahu para penyokong Sang Kenari untuk membudayakan pembelian pas bermusim.

Baca: Harga Tiket Kedah Darul Aman FC Naik RM5 Bagi Setiap Kategori

Untuk makluman, keputusan untuk menaikkan harga tiket bagi kesemua kategori ini telah dikongsikan oleh pemilik, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar dalam satu sidang media yang berlangsung sekitar pertengahan April lalu.

Sebagai rekod, skuad bimbingan Nafuzi Zain ini mengumumkan berhasil mengutip sekitar RM2 juta secara kasar menerusi jualan tiket sepanjang saingan Liga Malaysia musim lalu.

Kedah Darul Aman yang menamatkan saingan Liga Super 2023 di tangga keempat mengutip amaun tersebut menerusi penjualan sebanyak 135,352 keping tiket bagi 16 perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Aman, tahun lalu.

View this post on Instagram

A post shared by Kedah Darul Aman Football Club (@kedahdarulamanfc)

Featured Image: Kedah Darul Aman FC

Komen