Selangor FC Kekalkan Harga Tiket, Sasar ‘Full House’ Setiap Perlawanan
May 27, 2024 Hafizuddin Omar

Stadium “full house” bagi setiap perlawanan menjadi salah satu sasaran yang diletakkan oleh pengurusan Selangor FC pada musim ini, demikian perkongsian daripada Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Johan Kamal Hamidon.

Disebabkan hal itu, pasukan berjulukan Red Giants itu memutuskan tidak menaikkan harga tiketnya bagi saingan musim 2024-25 biarpun kapasiti gelanggangnya, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkurangan menjadi 10,661 tempat duduk sahaja – selepas renovasi.

Baca: Harga Tiket Di Stadium MBPJ Kekal Biarpun Kapasiti Penonton Berkurang

Pihaknya berharap dengan mengekalkan harga tiket, ianya dapat menarik para penyokong untuk memenuhkan stadium pada setiap perlawanan terutamanya ketika bertemu pasukan-pasukan kecil serta ketika perlawanan yang berlangsung pada hari bekerja. 

“Kita sememangnya maklum dengan pengurangan kapasiti stadium dan kita tetapkan harga (tiket) yang sama (seperti musim lalu) sebab fokus kami untuk tahun ini memastikan kita cuba dapatkan kehadiran penuh ke stadium untuk setiap perlawanan,” katanya selepas ditemui selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan FC, semalam.

@sukanzcom

Biarpun kapasiti Stadium MBPJ berkurangan, Selangor FC kekalkan harga tiket musim 24/25 agar dapat menarik fans untuk mememuhkan stadium pada setiap perlawanan #SukanDiTikTok #BolaSepak #FootballTogether #LigaSuperMalaysia

♬ original sound – Sukanz – Sukanz

“Tahun lepas purata (kehadiran) setiap perlawanan kita dalam 7,000 hingga 8,000, jadi sasaran kami (musim ini) untuk penuhkan stadium dengan kehadiran 10,000 hingga 11,000 (setiap perlawanan) itu merupakan satu benda yang kita nak capai, saya fikir itu merupakan sasaran yang munasabah, peningkatan dalam 30%,” ulasnya lagi.

“Jadi bila kita punya stadium penuh, (lingkungan) 10,000 hingga 11,000 Insya-Allah penjanaan pendapatan daripada sumber-sumber lain akan masuk (seperti) penaja-penaja, penjualan makanan dan aktiviti pengaktifan jenama daripada penaja,”

Baca: Stadium MBPJ Kini Berkapasiti 10,661 Tempat Duduk

“Itu merupakan perkara yang kita cuba ketengahkan selain daripada jualan tiket,” ujarnya.

Untuk makluman, Selangor FC menetapkan harga tiketnya mengikut pengkelasan Tier 1 dan Tier 2 – berdasarkan reputasi kelab yang datang bertandang selain taraf kejohanan yang dihadapi.

Harga tiket bagi Tier 1 adalah RM5 (Kids), RM25 (Open) dan RM30 (Grandstand) manakala untuk Tier 2 adalah RM5 (Kids), RM20 (Open) dan RM25 (Grandstand).

Pasukan yang dikelaskan dalam Tier 1 ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC, Sabah FC dan Sri Pahang FC.

Sementara Tier 2 pula diisi oleh Negeri Sembilan FC, Kelantan Darul Naim FC, Kuching City FC, Perak FC, Penang FC dan PDRM FC.

Tambah Johan lagi, harga-harga tiket tersebut akan diperhalusi pihak pengurusan pada musim-musim akan datang.

Komen