Penyerang legenda Liga Super serta bekas pemain skuad kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin merasakan belum masanya lagi untuk beliau menggantung but dan bersara sebagai pemain bola sepak.
Lebih-lebih lagi perasaan itu didorong oleh naluri yang menginginkannya untuk terus beraksi di atas padang selain tahap kecergasannya yang masih berada di tahap yang terbaik.
Bersandarkan kepada perasaan dan dorongan itu, kelibat pemain berusia 42 tahun mempunyai catatan 106 gol dalam kancah Liga Super akan dapat terus dilihat oleh para peminat tempatan bersama kelab yang baru sahaja ditubuhkan iaitu PT Athletic FC dalam kancah Liga A1 Semi-Pro 2024-25.
Baca: Amri Yahyah Keluar Dari Persaraan, Sertai PT Athletic Pada Usia 43 Tahun
“Motivasi diri itu (adalah) kita ni masih lagi nak bermain, saya rasa mungkin belum masa untuk berhenti (bermain) dan saya akan teruskan, saya pastikan saya berada dalam (tahap) kecergasan di tahap yang baik,” katanya ketika ditemui pihak media, baru-baru ini.
Menurut Indra yang pernah menjulang kejuaraan ‘treble” bersama Kelantan pada musim 2012, keputusan menyertai PT Athletic diambil sebagai satu cabaran buatnya bagi membantu pasukan tersebut ke peringkat yang lebih tinggi.
Pada masa yang sama, Indra mendedahkan menolak tawaran untuk kekal bersama Kelantan Darul Naim FC (dahulunya dikenali sebagai Kelantan United FC) yang beraksi dalam saingan Liga Super 2024-25 bagi menyertai skuad bimbingan Nazrulerwan Makmor ini.
Baca: Pasukan Liga M3 Boleh Guna 2 Pemain Import – Yusoff Mahadi
Bercakap mengenai Liga A1 (sebelum ini dinamakan sebagai Liga M3), Indra merasakan saingan ini bakal menjadi sesuatu yang menarik terutamanya dengan kehadiran pemain-pemain import – maksimum dua orang bagi setiap pasukan.
Indra sempat berkongsikan bahawa beliau sudah mula meneroka bidang kejurulatihan dalam bola sepak dengan hasrat untuk menurunkan segala ilmu dan pengalamannya kepada pemain-pemain generasi baharu pada masa akan datang.
“Insya-Allah, saya dah ada Lesen B FAM, Insya-Allah saya akan teruskanlah (berkecimpung dalam) dunia bola sepak serta akan turunkan segala apa yang saya ada untuk pemain-pemain muda,” tambahnya.
Featured Image: PT Athletic FC