Perseorangan lelaki No.1 tanah air, Lee Zii Jia kembali ke posisi ketujuh dunia sekaligus memintas semula kedudukan jaguh Thailand, Kunlavut Vitidsarn pada minggu ini.
Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini memperlihatkan pemain berusia 26 tahun berkenaan memintas Kunlavut susulan kejayaannya muncul juara Terbuka Australia 2024 pada Ahad lalu.
Kejuaraan itu memberikan Zii Jia tambahan sebanyak 9,200 mata dan membolehkannya mengumpul 78,816 mata secara keseluruhan daripada sepuluh kejohanan terbaiknya dalam tempoh 52 minggu terakhir.
Baca: Lee Zii Jia Juara Terbuka Australia 2024 – Raih RM148,459
Kunlavut, 23 tahun, yang tidak menyertai Terbuka Australia pula menghuni posisi kelapan dunia dengan pungutan 77,508 mata secara keseluruhan.
Pada masa yang sama, posisi ketujuh itu membolehkan Zii Jia kekal dalam kelompok lapan pemain lelaki terbaik atau menjadi “top seed” di temasya Sukan Olimpik 2024.
Baca: 5 Wakil Badminton Malaysia Layak Ke Sukan Olimpik 2024
Pada 25hb Jun hadapan, penganjur akan menggunakan ranking dunia setiap pemain pada tarikh tersebut untuk disusun dalam “M & Q Report” dan menentukan “seeding” pada 26 Jun dan 9 Julai masing-masing.
Selepas itu, penganjur akan melangsungkan majlis undian pada 12 Julai.
Sementara itu, kemaskini BWF turut memperlihatkan perseorangan lelaki No.2 dan No.3 negara iaitu Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao kekal di posisi ke-18 dan ke-28 masing-masing.
Featured Image: Facebook Victor