Ranking FIFA: Malaysia Naik, India Jatuh
June 20, 2024 Hafizuddin Omar

Hasrat ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon untuk meletakkan Malaysia dalam Balang 1 sebelum berlangsungnya sesi undian Pusingan Akhir Piala Asia 2027 yang dijangka pada Disember nanti tampak sedikit cerah.

Ianya susulan Malaysia merekodkan peningkatan sebanyak tiga anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-135 dunia berdasarkan kemaskini yang dilakukan oleh Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pada hari ini.

Pada saat ini, Malaysia secara tidak rasminya menjadi pendahulu dalam Balang 2 – berdasarkan ranking ke-135 dunia – bagi undian Pusingan Akhir Piala Asia 2027.

View this post on Instagram

A post shared by FA Malaysia (@famalaysia)

Baca: Pan-gon Tumpu Naikkan Ranking Malaysia, Masuk Balang 1 Undian

Untuk menyertai Balang 1, Malaysia harus memintas pasukan terakhir dalam balang tersebut iaitu India.

Kemaskini ranking dunia oleh FIFA pada hari turut memberikan khabar baik buat Malaysia kerana India mengalami kejatuhan sebanyak tiga anak tangga dan kini menghuni ranking ke-124.

Kejatuhan itu disebabkan oleh diikat oleh Kuwait serta tewas di tangan Qatar dalam dua perlawanan terakhir Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, pada 6hb dan 11hb Jun lalu.

Baca – Pesta Bola Merdeka: Tiada Sebarang Permohonan Daripada India

Kenaikan dan kejatuhan ranking melibatkan kedua-dua pasukan ini menjadikan jurang antara India dan Malaysia semakin mengecil iaitu berbeza sebanyak 11 anak tangga sahaja.

Sebelum ini, kedua-dua pasukan ini mempunyai perbezaan sebanyak 17 anak tangga.

Sementara itu, kedua-dua pasukan hanya dibezakan dengan 31.81 mata berikutan India dan Malaysia mempunyai 1107.58 dan 1139.39 mata masing-masing pada saat ini.

Sebagai tambahan, kemaskini ranking dunia pada hari ini turut menyaksikan Thailand kekal sebagai pendahulu di dalam kalangan negara-negara ASEAN di tangga ke-100 diikuti Vietnam (116), Indonesia (134), Malaysia (135), Filipina (147), Singapura (159), Myanmar (164), Kemboja (180), Laos (189) dan Brunei (191).

Untuk pengetahuan semua, kemaskini ranking dunia berikutnya oleh FIFA adalah pada 18 Julai 2024.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen