MFL Denda Selangor RM100K, Bayar Pampasan Kerugian Ditanggung JDT
June 25, 2024 Hafizuddin Omar

Pengelola saingan bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) tampil mengumumkan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC yang tidak hadir ke aksi perebutan Piala Sultan Haji Ahmad Shah dan perlawanan pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 10 Mei lalu.

Ahli Lembaga Pengarah MFL yang bermesyuarat pada hari ini memutuskan mengenakan empat hukuman ke atas skuad berjulukan Red Giants bimbingan Nidzam Jamil selepas membuat pertimbangan pada setiap faktor kes.

Pertamanya, Selangor akan didenda sebanyak RM100,000 dengan wang tersebut akan disumbangkan kepada badan kebajikan yang akan diputuskan kelak.

Keduanya, Selangor juga diarahkan untuk membayar pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah iaitu JDT dan juga MFL.

Bagi hukuman ini, MFL memaklumkan akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor untuk semakan dan perbincangan selanjutnya.

Baca: Selangor FC Terima Tajaan Sekitar RM8 Juta Daripada Syarikat ‘Non-Government’

Baca: Selangor FC ‘Gerenti’ Dapat RM1.41 Juta Main Di ACL2 2024-25

Tidak cukup dengan itu, Selangor juga akan dikenakan potongan tiga dalam pertandingan Liga Super 2024-25.

Untuk pengetahuan semua, ketika ini Selangor sedang menghuni tangga kedua Liga Super dengan memungut sembilan mata hasil daripada mencatatkan tiga kemenangan berturut-turut ke atas Kedah Darul Aman FC, Negeri Sembilan FC dan Perak FC.

Akhir sekali, Ahli Lembaga Pengarah MFL turut mengenakan hukuman bermain menentang JDT di Stadium MBPJ pada aksi ke-14 Liga Super tanpa kehadiran penonton.

MFL menjelaskan operasi perlawanan ini akan dilaksanakan dengan kerjasama antara MFL dan Selangor FC dengan syarat kemasukan wakil-wakil terpilih kedua-dua kelab yang akan diselaraskan untuk kehadiran pada hari perlawanan.

Sebagai rekod, Selangor membuat keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan menentang JDT pada 10 Mei lalu atas alasan keselamatan selain ancaman kepada pemain dan pegawai pasukannya.

Komen