Ini Senarai Fasiliti, Kemudahan & Kos Keseluruhan Pusat Latihan Kebangsaan FAM Di Putrajaya
June 26, 2024 Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil mengumumkan pembinaan projek Pusat Latihan Kebangsaan (NTC) serba moden dan terkini di Presint 5, Putrajaya yang khusus untuk latihan skuad kebangsaan pelbagai peringkat umur.

Menerusi perkongsian oleh Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin di majlis pecah tanah yang diadakan di tapak pembinaan projek yang berkeluasan 5.2 hektar berhampiran dengan Taman Ekuestrian Putrajaya pada hari ini, projek NTC tersebut dibahagikan kepada Fasa 1 dan 2.

Projek Fasa 1 adalah melibatkan pembinaan tiga buah padang bola sepak dengan tiga jenis rumput yang berbeza iaitu jenis bermuda, jenis hybrid dan jenis tiruan dilengkapi dengan lampu limpah serta sistem saliran berkualiti, landskap dan pagar setinggi enam meter di sekeliling kawasan padang.

Baca: Orang Korporat Pimpin FAM – KJ

Bagi Fasa 1 ini, ianya akan dilaksanakan oleh syarikat tempatan, RS Green Master (M) Sdn. Bhd. dengan kos bernilai AS$5.2 juta atau bersamaan kira-kira RM24 juta menggunakan dana daripada program FIFA Forward.

Fasa 1 ini telah pun bermula pertengahan Jun 2024 dan dijangka siap pada Disember 2026.

Setelah siap Fasa 1, ianya sudah boleh digunakan oleh skuad-skuad kebangsaan daripada peringkat senior hingga ke bawah umur serta skuad wanita untuk menjalani kem latihan pusat menjelang mana-mana kejonanan atau perlawanan antarabangsa.

Baca: Hamidin Dipilih Sebagai Ahli Majlis AFF Penggal 2022-2026, Tak Bertanding Jawatan Lebih Tinggi Kerana Mahu Tumpu Kepada Malaysia

Sementara itu Fasa 2 pula akan melibatkan pembinaan sebuah bangunan seluas 1,682.8 meter persegi yang merangkumi gimnasium, ruang serbaguna, bilik persalinan pemain, ruang rehabilitasi dan surau serta pembinaan bumbung – mengikut piawaian antarabangsa – bagi padang rumput tiruan yang dibina pada Fasa 1.

Bagi Fasa 2, kos pembinaan tersebut menggunakan peruntukan sebanyak RM45 juta daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan ianya akan dilaksanakan serta diurus oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan tender dijangka dibuka pada September 2024 dan dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2027.

Secara keseluruhannya, kos pembinaan NTC milik FAM di Presint 5, Putrajaya ini bagi Fasa 1 dan 2 mencecah RM69 juta.

Komen