Norza: Jaket Kontinjen Malaysia Tampilkan Corak Belang Harimau Yang Lebih Garang, Guna Logo MOM Versi ‘Polychrome’
July 2, 2024 Hafizuddin Omar

Jaket Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 yang baharu akan menampilkan corak belang harimau yang lebih garang, demikian pengesahan daripada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Norza Zakaria.

Menurutnya, corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam berserta belang harimau berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di bahagian hadapan dan belakang jaket.

Selain itu, logo MOM juga akan menggunakan versi “polychrome” – versi yang memaparkan kibaran Jalur Gemilang mengikut warnanya diiringi lima gegelung Olimpik dalam warna biru, kuning, hitam, hijau dan merah.

“MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi indentiti Kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada tahun 2005,” katanya menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan pada hari ini.

Baca: Tak Ubah Suai Warna Jalur Gemilang, Itu Logo MOM – Norza Zakaria

Jelas Norza lagi, pemilihan rekaan dan corak baharu jaket ini dilakukan susulan maklum balas yang bercampur baur terhadap rekaan dan corak pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 yang dilancarkan pada 23hb Jun lalu di The Exchange, TRX.

“Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di Kota Paris nanti,” tambah Norza lagi.

Sementara itu, untuk kemeja T berkolar, MOM  mengekalkan corak dan motif yang sama tetapi dengan lakaran logo MOM “polychrome” – sebagai tanda menghormati bendera negara.

View this post on Instagram

A post shared by Olympic Council of Malaysia (@olympicmas)

Baca: MOM, Yonex Akan Berbincang Tambah Baik Rekaan Jaket Kontinjen Malaysia – Norza Zakaria

Bagaimanapun, disebabkan faktor masa, Norza memaklumkan MOM mendapat kebenaran daripada pihak penaja iaitu Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan di kedua-dua jaket dan kemeja T.

“Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan proses perjanjian dengan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu,”

“Maka itu Yonex Malaysia memberi keizinan khas kepada MOM untuk mencetak dan mengeluarkan jaket ini dengan fabrik pengilang berbeza sebagai pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 disebabkan faktor masa.” katanya.

“Dengan keputusan ini, MOM mengharapkan agar seluruh rakyat Malaysia menghulurkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada semua anggota Kontinjen Malaysia di temasya Sukan Olimpik Paris 2024, mulai 26 Julai hingga 11 Ogos nanti.” ujar Norza lagi.

Featured Image: Olympic Council of Malaysia

Komen