Tujuh buah kelab bola sepak yang terdiri daripada Kerteh FC, Shah Alam Antlers FC, Marap FC, Pasir Gudang Hornets, FC Jerantut, Duyong Fighters dan Lumut Wanderers FC tampil membentuk satu gabungan yang diberikan nama Finest City Alliance (FCA).
Ianya merupakan sebuah gabungan kolektif yang terdiri daripada tujuh buah kelab bola sepak komuniti yang berpangkalan di Terengganu, Selangor, Perak, Melaka dan Johor.
Hasil interaksi dengan salah sebuah kelab yang menyertai gabungan ini, berikut kami senaraikan enam perkara mengenai Finest City Alliance:
#1 Promosi Semangat Bola Sepak
Matlamat utama perikatan ini adalah untuk mempromosikan semangat bola sepak di kalangan masyarakat dan memperkukuhkan hubungan dalam komuniti bola sepak. FCA ingin memastikan bahawa setiap kelab dalam perikatan ini dapat berkembang maju dan memberikan impak positif kepada perkembangan bola sepak tempatan.
#2 Berkongsi Faedah
FCA berharap dapat membawa pelbagai faedah kepada komuniti dan kelab bola sepak. Antaranya, pembangunan pemain, program komuniti yang lebih bermanfaat dan peningkatan kerjasama antara kelab yang dapat memberikan pendedahan serta peluang yang lebih luas kepada pemain. Ini juga merupakan peluang untuk mengukuhkan prestasi kelab dan membina asas yang kukuh untuk bola sepak tempatan.
Baca: Pemilik Man City, CFG Ambil Alih Kelab Brazil – EC Bahia
#3 Perancangan Program Secara Bersama
FCA merancang untuk melaksanakan pelbagai aktiviti dan program yang melibatkan latihan bersama, pertandingan persahabatan, klinik bola sepak, dan seminar pembangunan. Program-program ini akan memberi tumpuan kepada meningkatkan pengurusan dan pentadbiran kelab-kelab dalam FCA.
#4 Perkongsian Sumber
Kerjasama dan perkongsian sumber dalam FCA akan melibatkan pertukaran pengetahuan, pengalaman, dan sumber di antara kelab. FCA akan membantu dan berkongsi dalam aspek pengurusan dan pentadbiran kelab dalam FCA. Dengan ini, FCA dapat memaksimumkan potensi setiap kelab dan memastikan semua pihak mendapat manfaat daripada perkongsian ini.
Baca: Kerteh FC Ambil Iktibar & Pengajaran Daripada Pasukan-Pasukan Yang Terkubur
#5 Mensasarkan Peningkatan Prestasi Kelab Gabungan
FCA juga berharap untuk menjadi model kerjasama yang berjaya di masa hadapan. Sasaran masa depan kami termasuklah untuk mempertingkatkan prestasi semua kelab dalam perikatan, melahirkan pemain-pemain yang berkualiti, dan memperluaskan pengaruh serta impak positif FCA ke seluruh negara.
Baca: Kelab Amatur Cheras Raptors Jalin Kerjasama Dengan Palamos CF
#6 Intai Peluang Kerjasama
FCA akan mencari peluang untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk sekolah, kolej, dan institusi bola sepak. FCA percaya bahawa kerjasama ini akan membawa manfaat besar kepada pembangunan bola sepak tempatan.