Kulit Kuaci Punca Saluran Air SSMZA Tersumbat
July 2, 2024 Hafizuddin Omar

Pihak pengurusan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) memaklumkan semula pengharaman penjualan kuaci di stadium yang gelanggang rasmi bagi Terengganu FC kepada orang ramai.

Makluman pengharaman itu dikongsikan oleh Bahagian Infrastruktur dan Kemudahan, Majlis Sukan Negeri Terengganu menerusi platform media sosialnya, pada hari ini.

Pihak pengurusan stadium turut membuat pemakluman itu sambil mengepilkan beberapa foto yang memaparkan kulit-kulit kuaci terkumpul di beberapa tempat khususnya lubang-lubang saliran air.

“Sudah lama pihak pengurusan stadium mengharamkan aktiviti penjualan kuaci dalam stadium semasa perlawanan bolasepak diadakan. Antara puncanya adalah saluran air akan tersumbat disebabkan oleh kulit kuaci.”

Baca: Terengganu Mahu Wujudkan Nurseri Rumput Bermuda Bersebelahan SSMZA

“Jika hujan lebat melanda sudah pasti akan menjelma gambar-gambar ‘Waterfall Viral’ dan akan dikongsikan pada setiap page di media sosial. Punca adalah dari tangan kita para penyokong sendiri.” tulisnya kenyataan pihak pengurusan stadium.

Sekitar dua tahun lalu, SSMZA mendapat kecaman orang ramai ekoran ruangan tempat duduk ditenggelami air dan bertukar menjadi kolam serta air terjun selepas berlakunya hujan lebat.

Keadaan itu berlaku berikutan hujan turun dengan lebatnya serta air hujan tidak dapat mengalir dengan baik disebabkan oleh keadaan lubang-lubang saliran air dihalang oleh sampah seperti kulit seperti dinyatakan di atas.

Baca: Coach Fandi Suka Aura Di Stadium Temerloh, Penyokong Lebih Dekat

Bagi mengelakkan situasi yang sama berulang, pihak pengurusan stadium akan mengetatkan lagi larangan penjualan kuaci dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa. 

“Pada perlawanan seterusnya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), adalah diharamkan penjualan kuaci dan pihak pengurusan akan menjalinkan kerjasama bersama pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya aktiviti perniagaan ini terus berlaku.” tulis kenyataan itu lagi.

Sebagai rekod, Terengganu FC selaku penyewa di stadium berkenaan turut melakukan kempen kesedaran mengenai larangan membawa kuaci kepada para penyokongnya sejak tahun 2019 lagi ketika mereka menggunakan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Kuala Terengganu.

Selain daripada larangan itu, skuad yang sinonim tema Hitam Putih itu juga menjalankan kempen kesedaran mengenai “Zero Sampah” dan “Zero Asap Rokok”.

Featured Image: Facebook Bahagian Infrastruktur dan Kemudahan, Majlis Sukan Negeri Terengganu

Komen