Padang Stadium Shah Alam (SSA) yang dahulunya dalam keadaan rata dan rapi kini ditumbuhi semak samun serta menjadi belukar susulan sudah tidak digunakan dan diselenggara sejak empat tahun lalu.
Keadaan semasa dan terkini padang bagi stadium yang dahulunya digunakan oleh Selangor FC dan juga skuad kebangsaan pelbagai peringkat umur itu dikongsikan oleh jurugambar menerusi akaun Tiktok peribadinya, @blackpal89.
Baca: Kulit Kuaci Punca Saluran Air SSMZA Tersumbat
Video berdurasi satu minit dan enam saat yang dikongsikannya ketika turun memotret keadaan semasa SSA setelah bermulanya kerja-keja perobohan itu turut memaparkan padang tersebut ditumbuhi pokok-pokok kecil.
Sementara itu, di kawasan rumput di berhampiran dengan tempat duduk penonton turut ditumbuhi dengan lalang yang tinggi.
Selain itu, bumbung bagi stadium berkapasiti sekitar 80,000 tempat duduk itu turut berada dalam keadaan daif dengan majoriti panelnya yang berjenis polikarbonat telah pecah.
Baca: Kerusi Stadium Shah Alam Akan Ditawarkan Kepada Stadium & Astaka Daerah Secara Percuma
SHAH ALAM, 3 Julai 2024. Kerja-kerja merobohkan Stadium Shah Alam giat dilakukan oleh kontraktor MRCB menggunakan jentera 'Hydraulic Breaker' ketika tinjauan di Stadium Shah Alam hari ini.
— Media Selangor (@Media_Selangor) July 3, 2024
📸ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR#MediaSelangor pic.twitter.com/KzuzyPFFa0
Kerja-kerja perobohan SSA ini telah bermula pada 1hb Julai baru-baru ini bagi membuka jalan kepada pembinaan dan pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang baharu.
Fasa 1 KSSA yang melibatkan pembinaan stadium berkapasiti sekitar 40,000 tempat duduk serta beberapa kemudahan di kawasan sekitar dijangka siap pada penghujung 2026 kelak.
Sebagai rekod, kali terakhir Selangor FC dilihat beraksi di SSA adalah pada awal 2020 ketika beraksi dalam kejohanan pramusim, Selangor Asia Challenge (SAC).
Featured Image: Tiktok Blackpal89