Sasaran Malaysia Di Olimpik, 1 Pingat Emas Tanpa Perak Atau Gangsa – Hannah Yeoh
July 9, 2024 Hafizuddin Omar

Kontinjen Malaysia perlu membawa pulang sekurang-kurangnya satu keping pingat iaitu pingat emas daripada temasya Sukan Olimpik Paris 2024. 

Sasaran ke atas Kontinjen Malaysia itu dikongsikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, mengulangi sasaran yang sama diletakkan oleh Jawatankuasa Road To Gold (RTG) semasa penubuhan program terbabit.

Hannah yang merupakan Pengerusi Bersama RTG meletakkan harapan untuk menjelmakan kilauan emas pertama negara di temasya yang berlangsung dari 26hb Julai hingga 11hb Ogos itu ke atas atlet-atlet berbasikal serta badminton tanpa menolak peluang atlet-atlet negara yang bertanding dalam acara lain. 

“Saya sudah jawab banyak kali, sasaran kita untuk Sukan Olimpik kali adalah satu pingat emas, itu adalah sasaran semasa penubuhan Jawatankuasa Road To Gold (RTG),”

“Jawatankuasa RTG seperti yang kita telah jawab banyak kali adalah untuk dua kitaran Sukan Olimpik iaitu untuk Paris 2024 dan Los Angeles 2028,”

“Itu sebab kita sedang membuat persiapan sekarang untuk membantu, top-up services (bantuan tambahan), untuk atlet-atlet Fast Track dalam skuasy dan juga diving (terjun),” 

Baca: Azizul, Shah & Izzah Dapat Basikal WX-R Vortex Edisi Baharu Ke Sukan Olimpik

Baca: MSN Umum Program Fast Track – Bantu Atlet Muda Buru Emas LA28

“Jadi persiapan sedang berjalan, bukan sahaja untuk Paris (2024) tetapi Los Angeles (2028) dah bermula,” 

“Jadi, sasaran pingat emas satu, kita berharap samada cycling (berbasikal) ataupun badminton dan sukan yang lain, kerana bila atlet pergi, telah layakkan diri, bermaksud mereka ada peluang untuk bawa balik pingat,”

“Bukan kita tak nak gangsa, bukan kita tak nak pingat perak tetapi hasrat negara adalah untuk kita melihat Malaysia dapat satu pingat emas, oleh sebab itu, sasaran kita satu pingat emas,” 

“Satu pingat emas (tiada perak atau gangsa),” katany ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoA) antara Bubbles O2 dan Majlis Sukan Negara (MSN) di Bukit Jalil, hari ini.

Sekitar awal Mei lalu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meletakkan sasaran untuk membawa pulang satu pingat emas menerusi jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Mohd. Azizulhasni Awang.

Sementara itu, jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia pula menetapkan sasaran peribadinya untuk menjuarai Sukan Olimpik 2024 selepas disahkan layak ke temasya berkenaan pada 10 Mei lalu.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Kontinjen Malaysia di Sukan Olimpik hadir pada edisi 2016 di Rio, Brazil dengan membawa pulang empat pingat perak serta satu pingat gangsa menerusi acara badminton, terjun dan berbasikal trek.

Komen