Sabah FC Hilang 2 Tonggak Bertemu JDT – Ong Kim Swee
July 12, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan yang menghuni tangga keempat Liga Super iaitu Sabah FC kehilangan dua pemain tonggak menjelang perlawanan bertemu pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Likas, pada Sabtu.

Dua pemain yang dimaksudkan itu adalah pemain sayap dari Indonesia, Saddil Ramdani serta penyerang berdarah campuran Inggeris-Malaysia, Darren Lok.

Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee sambil memaklumkan kedua-duanya masih mengalami kecederaan.

Mengulas pertemuan menentang skuad berjulukan Harimau Selatan itu, Kim Swee yang merupakan bekas ketua jurulatih kebangsaan mengakui perlawanan pada hari esok adalah sukar buat Sabah lebih-lebih lagi selepas tewas kedua-dua aksi suku akhir Piala FA di tangan Terengganu FC baru-baru ini.

Baca: Skuad Wanita Sabah Raih RM471,100 Jika Ke Peringkat Kumpulan AWCL 2024-25

“Ini perlawanan yang sangat berbeza, sudah tentu melibatkan kedudukan liga di mana kita tahu perlawanan sabtu ini sangat penting dan lebih-lebih lagi bermain dengan pasukan JDT.

“Bukan satu perkara yang mudah, tetapi kita harus memberikan saingan hebat serta memastikan Sabah FC dapat beraksi dengan lebih baik terutama selepas tewas dua perlawanan dengan Terengganu baru-baru ini,” katanya..

Sementara itu, Kim Swee juga memaklumkan isu yang tular di pelbagai platform media sosial mengenai Sabah FC akhir-akhir ini sudahpun diselesaikan dan beliau berharap semua pemain memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan penting esok.

“Kita yakin isu-isu luar ini tidak akan mengganggu tumpuan dan fokus pemain, mereka perlu meningkatkan prestasi selepas gagal memperoleh kemenangan daripada dua perlawanan yang lepas.

“Kita tidak bermain dengan begitu baik dan mereka harus melupakan kekalahan tersebut dengan menumpukan pada perlawanan esok agar mereka dapat bermain serta mengembalikan prestasi sebenar selepas tewas kepada Terengganu” tambah Kim Swee lagi.

Baca: Lepas Ini… Suruh Sultan Tulis Surat Murka Aja – Pemilik JDT

Pada masa yang sama, Kim Swee turut mengharapkan para penyokong dapat meneruskan sokongan kepada pasukan dengan turun beramai-ramai di Stadium Likas pada malam esok.

Menurutnya, kehadiran penyokong yang ramai di stadium sudah pasti dapat meningkatkan motivasi para pemain untuk berhadapan dengan JDT yang kini melakar empat kemenangan berturut-turut daripada empat perlawanan.  

“Saya tahu ramai pihak yang kecewa, namun kita harus teruskan di mana ini penting untuk mendapatkan sokongan berterusan terutama daripada para penyokong yang sememangnya akan memberi impak yang sangat berlainan,” kata Kim Swee.

Ketika ini, Sabah FC menghuni tangga keempat dengan kutipan tujuh mata hasil daripada mencatatkan dua kemenangan dan satu keputusan seri.

Sebagai tambahan, sepak mula Sabah menentang JDT dijadualkan pada jam 8.15 malam.

Featured Image: Sabah Football Club

Komen