Sukan Olimpik: Aaron-Wooi Yik Diundi Bersama Beregu No.1 Dunia
July 15, 2024 Hafizuddin Omar

Teka-teki mengenai kumpulan manakah yang akan dihuni oleh beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 terjawab pada hari ini.

Keputusan undian yang dijalankan secara khusus bagi kategori beregu lelaki bertempat di ibu pejabat Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Kuala Lumpur sebentar tadi, Aaron & Wooi Yik diundi dalam Kumpulan A.

Turut bersama-sama diundi Kumpulan A terbabit adalah beregu No.1 dunia dari China, Liang Wei Keng dan Wang Chang yang masih segar dengan kejayaan merangkul kejuaraan Terbuka Indonesia 2024, baru-baru ini.

Melihat kepada sejarah pertembungan, Aaron & Wooi Yik tidak mempunyai rekod yang begitu baik apabila berentap menentang gandingan China terbabit.

Kedua-duanya sudah bertemu sebanyak lapan kali dan Aaaron & Wooi Yik hanya dapat merekodkan dua kemenangan sahaja.

Baca: Samsung Keluarkan Galaxy Z Flip6 Edisi Olimpik – Akan Diberikan Kepada Atlet-Atlet Bertanding Di Paris 2024

Namun begitu, satu perkara yang positif adalah pertembungan terakhir melibatkan kedua-dua beregu ini di saingan Piala Thomas 2024 pada awal Mei lalu berpihak kepada Aaron & Wooi Yik.

Sementara itu, melengkapkan Kumpulan A terbabit adalah beregu England, Ben Lane & Sean Verdey serta beregu Kanada, Dong Adam & Nyl Yakura yang menghuni ranking ke-18 dan ke-32 masing-masing.

Keputusan penuh undian bagi acara badminton kategori beregu lelaki di Sukan Olimpik 2024 adalah seperti berikut:

Kumpulan A:  Liang Wei Keng & Wang Chang (1), Aaron Chia & Soh Wooi Yik (5), Ben Lane & Sean Vendy (18) dan Dong Adam & Nyl Yakura (32). 

Kumpulan B: Kang Min-hyuk & Seo Seung-jae (4), Supak Jomkoh & Kittinupong (24), Christo Popov & Toma Junior Popov (39) dan Ondřej Král & Adam Mendrek (48).

Kumpulan C: Satwiksairaj Rankireddy & Chirag Shetty (3), Fajar Alfian & Muhammad Rian Ardianto (6), Mark Lamfuss & Marvin Seidel (31) dan Lucas Corvee & Ronan Labar (43)

Kumpulan D: Kim Astrup & Anders Skaarup Rasmussen (2), Takuro Hoki & Yugo Kobayashi (7), Liu Yun Chen & Ou Xuan Yi (9), Lee Yang & Wang Chi-lin (11) dan Vinson Chiu & Joshua Yuan (47).

Baca: Sasaran Malaysia Di Olimpik, 1 Pingat Emas Tanpa Perak Atau Gangsa – Hannah Yeoh

Untuk makluman semua, ranking yang disertakan di atas adalah berdasarkan kemaskini terbaru pada minggu ke-18 iaitu 9hb Julai 2024.

Sebagai tambahan, saingan badminton di Sukan Olimpik 2024 akan bermula dari 27hb Julai hingga 5hb Ogos di Porte de la Chapelle Arena.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen