Astro Sedia 18 Saluran Siar Sukan Olimpik Paris 2024
July 17, 2024 Hafizuddin Omar

Stesen televisyen berbayar, Astro mengumumkan menyediakan 18 saluran secara keseluruhan untuk menyiarkan pelbagai pertandingan dan kejohanan yang berlangsung di Sukan Olimpik Paris 2024.

Kesemua saluran tersebut dapat ditonton dalam definisi tinggi (HD) merangkumi 16 saluran khas tambahan, Astro OLY 1 – Astro OLY 16 (saluran 780 hingga 795) serta dua saluran eksklusif (saluran 801 & 802 HD).

Untuk makluman, saluran 780 hingga 789 adalah saluran khas dengan ulasan bahasa inggeris. Manakala saluran 790 hingga 795 juga hadir dengan ulasan bahasa inggeris namun terdapat di platform Astro GO dan Sooka sahaja.

Sementara itu, saluran 801 dan 802 pula membawakan sukan tempatan dengan ulasan bahasa melayu.

Baca: RTM Siar Siaran Langsung Sukan Olimpik Paris 2024 Secara Percuma

Bagi pelanggan Astro, kesemua 16 saluran khas itu boleh diakses secara percuma dalam tontonan HD termasuk enam saluran yang boleh ditonton di Astro GO.

Untuk pengguna Sooka, Sukan Olimpik Paris 2024 dapat distrim dengan mana-mana pelan langganan yang bermula dari RM13.90 ke atas untuk kesemua 16 saluran khas tersebut.

Pada masa yang sama, mereka turut membuat tawaran Sooka Premium melalui tawaran istimewa web bermula daripada RM29.60 (harga asal RM47.10 sebulan).

Terakhir, untuk pelanggan NJOI, pelanggan aktif Starter Pack (kecuali Pek HD) pula akan mendapat akses percuma 10 saluran Sukan Olimpik Paris 2024. Bagi bukan pelanggan Starter Pack, ianya boleh dilanggan pada harga serendah RM28.00 untuk 30 hari.

Baca: MFL Tak Laksanakan Siaran Langsung Piala MFL 2024-25

Disamping menyiarkan secara langsung pelbagai pertandingan dan kejohanan di temasya tersebut, Astro turut mengadakan program tambahan di Astro Arena seperti laporan berita di Nadi Arena setiap hari termasuk sorotan dan rangkuman sepanjang tempoh dua minggu dan setengah itu.

Antara lain, Astro turut menampilkan program pra-rancangan seperti Pentas Tumpuan Paris yang menjadi platform perbincangan untuk acara-acara sukan yang akan menjadi prospek emas bersama tetamu jemputan dan bekas atlet negara.

Komen