Selangor Dipilih Tuan Rumah SUKMA & Para SUKMA 2026
Hafiz Omar
Negeri Selangor akan menjadi tuan rumah bagi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA Kali Ke-22 yang dijadualkan pada tahun 2026.
Perkembangan itu hadir selepas Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia sebulat suara mengesahkan pemilihan Selangor selaku tuan rumah SUKMA 2026, demikian kenyataan rasmi yang disiarkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) pada hari ini.
Sebelum ini, sistem penggiliran tuan rumah SUKMA ditetapkan secara berselang seli setiap dua tahun di antara MSN dan negeri-negeri dan MSN telah ditetapkan untuk menjadi penganjur bagi temasya SUKMA 2026.
Baca: 28 Sukan Wajib Dipertandingkan Bermula SUKMA 2024

Bagaimanapun, negeri-negeri boleh menawarkan diri pada giliran MSN sekiranya tidak melibatkan kos pengelolaan yang besar serta memiliki kemudahan mencukupi.
“Berdasarkan kepada berkenaan, Selangor tampil menawarkan diri dan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia sebulat suara mengesahkan pemilihan Selangor selaku tuan rumah SUKMA 2026.”
“Kelantan kemudiannya mengambil giliran selaku tuan rumah SUKMA 2028.” tambah kenyataan itu lagi.
Baca: KBS Sedia Bincang Isu SUKMA 2028 Patuh Syariah – Hannah Yeoh

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menekankan bahawa pihaknya sentiasa memastikan temasya SUKMA relevan sebagai paltform pertandingan berkualiti untuk atlet-atlet remaja daripada seluruh negara selain memberi peluang negeri-negeri untuk memiliki fasiliti sukan terbaik serta berkemampuan menguruskan operasi logistik daripada pengalaman selaku tuan rumah SUKMA.
Featured Image: Majlis Sukan Negara