Hamidin Terkilan Dengan Kim Pan-gon, Sebelum Ini Komited Mahu Kekal Sehingga Hujung 2025
July 17, 2024 Hafizuddin Omar

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd. Amin yang sedang berada di Mallorca, Sepanyol meluahkan sedikit rasa terkilan terhadap Kim Pan-gon – bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Rasa terkilannya itu terbit susulan jurulatih berusia 55 tahun kelahiran Korea itu dengan penuh komited menyatakan kepadanya untuk terus membimbing skuad berjulukan Harimau Malaya sehingga kontraknya tamat – Disember 2025.

Perkara tersebut tidak menjadi kenyataan apabila Pan-gon mengumumkan perletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta secara mengejut menerusi satu sidang media khas di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Baca: Era Kim Pan-Gon Sudah Berakhir

Bagaimanapun, Hamidin tetap menghargai usaha dan jasa ditaburkan Pan-gon selama hampir dua tahun dan setengah bersama Harimau Malaya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pan Gon kerana sepanjang dua setengah tahun beliau bersama kita, ranking Harimau Malaya telah meningkat baik dan Malaysia berjaya layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun. Sumbangan besar beliau tidak akan kita lupakan.” katanya sepertimana disiarkan di pelbagai platform media sosial FAM, hari ini.

Baca: FAM Lantik Pau Marti Sebagai Pemangku Ketua Jurulatih, Elavarasan Penolong Ketua Jurulatih

Pada masa yang sama, Hamidin turut melakukan pertemuan dengan pemangku ketua jurulatih, Pau Marti Vicente di Mallorca pada pagi tadi. Sesi itu digunakan Hamidin untuk membincangkan hala tuju serta perancangan Harimau Malaya bersama Pau.

Dimaklumkan, Pau, 41 tahun, sedang pulang bercuti di negara kelahirannya, Sepanyol.

Selaku Presiden FAM, Hamidin menegaskan akan terus memberikan sokongan dan perhatian penuh terhadap segala keperluan skuad Harimau Malaya dalam memastikan ranking FIFA terus dapat diperbaiki selain persiapan bagi menghadapi Pesta Bola Merdeka 2024 pada September dan Piala ASEAN 2024 bermula November hadapan.

“Saya yakin dan percaya bahawa Pau Marti dan barisan kejurulatihan sedia ada termasuk E. Elavarasan akan meneruskan kesinambungan dan legasi yang ditinggalkan oleh Pan Gon bagi membawa cabaran skuad Harimau Malaya selepas ini,” ujar Hamidin.

Sementara itu, Pau pula memaklumkan bahawa akan meneruskan pelaksanaan yang dilakukan oleh Pan-gon sebelum ini selain akan memastikan peningkatan positif Harimau Malaya dapat diteruskan secara konsisten.

Baca: Pan-gon Tumpu Naikkan Ranking Malaysia, Masuk Balang 1 Undian

Tambahnya, selain membincangkan mengenai dua kejohanan utama yang akan dihadapi oleh Harimau Malaya pada tahun ini, Pau dan Hamidin sudah mula melakukan perancangan awal mengenai persediaan menjelang Kelayakan Piala Asia 2027 yang akan bermula pada Mac tahun hadapan.

Sebagai tambahan, Hamidin berada di Mallorca selaku Chef de Mission (CDM) atau Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi memantau skuad berbasikal trek negara yang sedang menjalani latihan di sana sebelum berangkat ke Paris.

Komen