Sekitar awal Januari lalu, kelab amatur yang berpangkalan di Kemaman, Terengganu iaitu Kerteh FC tampil menubuhkan Koperasi Penyokong Kelab Bola Sepak Kerteh Berhad (KPKBKB).
Penubuhan tersebut merupakan satu langkah dari pihak pengurusan kelab untuk mengembalikan kelab ini kepada komuniti dan penyokong pada masa hadapan.
Selain itu, pihak koperasi turut diberikan tanggungjawab untuk menguruskan aset komersil kelab, dimana aset-aset ini akan dipindah milik kepada koperasi secara berperingkat.
Semalam, kelab berjulukan The Oilers ini tampil melancarkan pendaftaran keahlian KPKBKB secara rasmi bukan sahaja buat penduduk setempat sahaja malahan kepada penyokong dari seluruh Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.
Baca: Kerteh FC Bakal Lancar Aplikasi Digital Tersendiri Pada Ogos
Terdapat dua kategori keahlian atau keanggotaan yang yang ditawarkan oleh KPKBKB kepada orang ramai iaitu Penyokong Biasa (Regular Fans) dan Ahli Pemegang Amanah (Trustee Members).
Bagi kategori Penyokong Biasa, antara manfaat-manfaat yang bakal diterima adalah seperti berikut:
- Percuma satu cenderamata berupa beg tote “The Story of Kerteh FC”
- Hak untuk mengundi dan melantik ahli jawatankuasa eksekutif KPKBKB
- Diskaun istimewa untuk pembelian cenderamata
- Diskaun untuk pas bermusim, tiket perlawanan, tiket bas untuk ke tempat lawan, program berkaitan bola sepak dan acara khas
- Akses kepada kandungan (content) untuk ahli sahaja
Sementara itu kategori Ahli Pemegang Amanah pula akan memperolehi manfaat-manfaat berikut:
- Percuma jersi fan “The Oilers” Kerteh FC dan set nama mengikut tempahan
- Akses kepada aplikasi telefon rasmi Kerteh FC
- Hak untuk memegang jawatan dalam Ahli Lembaga Amanah
- Hak untuk mencalonkan untuk jawatan di dalam KPKBKB
- Hak untuk mengundi dan melantik Ahli Jawatankuasa Eksekutif
- Diskaun istimewa untuk cenderamata
- Diskaun untuk pas bermusim, tiket perlawanan, tiket bas ke tempat lawan, program berkaitan bola sepak dan acara khas
- Akses kepada kandungan (content) untuk ahli sahaja
Selain daripada dua kategori di atas, Kerteh FC turut membuka pendaftaran untuk kategori Ahli Remaja (Junior Members).
Baca: Ini 6 Perkara Yang Kami Tahu Mengenai Finest City Alliance – Disertai Kerteh FC
Untuk kategori ini, mereka akan didaftarkan kepada kelab dan bukannya kepada koperasi dan manfaat-manfaatnya adalah seperti berikut:
- Diskaun untuk pas bermusim, tiket perlawanan, tiket bas ke tempat lawan, program berkaitan bola sepak dan acara khas
- Akses kepada kandungan (content) ahli sahaja
- Peluang untuk menjadi “budak milo” atau menemani pemain-pemain masuk ke padang semasa perlawanan di tempat sendiri “home”.
Ketiga-tiga kategori keanggotaan atau keahlian ini diletakkan tanda harga sebanyak RM100 (harga asal: RM240), RM1200 dan RM30 masing-masing.
Bagi kategori Penyokong Biasa, pihak koperasi memberikan diskaun hampir 60% sebagai tawaran khas bagi tempoh pendaftaran selama tiga bulan atau sehingga tarikh 21 Julai 2024.
Bagi yang berminat untuk menjadi ahli atau anggota KPKBKB, anda boleh membuat pendaftaran di laman sesawang www.ghxst.org/shop/kerteh-fc-membership