Usahawan pencuci mulut, Khalieda Yusra dan pasangannya, Hilmi Zaki yang menjalankan perusahaan Kieda Crepe memohon maaf secara umum kerana menggunakan logo pergerakan ultras bagi Kelab Bola Sepak Sri Pahang (Sri Pahang FC) iaitu Elephant Army (EA) tanpa kebenaran.
Logo itu digunakan oleh pasangan suami isteri tersebut pada lengan kanan jersi rekaan inspirasi daripada kelab-kelab Liga Bola Sepak Kebangsaan (NFL) di Amerika Syarikat bersempena jelajah perniagaan mereka ke negeri Pahang pada penghujung bulan ini.

Permohonan maaf itu dibuat oleh Khalieda yang juga pempengaruh media sosial menerusi perkongsian di akaun Facebook peribadinya selepas pihak EA sendiri mengeluarkan kenyataan rasmi mengesan penggunaan logonya secara tidak sah.
EA dalam kenyataan itu juga memaklumkan logonya telah didaftarkan secara rasmi sebagai cap dagangan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Penyalahgunaan logo EA oleh mana-mana pihak samada secara sengaja atau tidak sengaja menjadi satu kesalahan dan boleh diambil tindakan.
Disamping itu, Hilmi atau dikenali sebagai Amy turut memuat naik video permohonan maaf di pelbagai akaun Tiktok perniagaan milik mereka iaitu @kiedacrepepenang dan @amykiedamerchandise.
Baca: Sri Pahang Lepaskan Pemain Import, Dapat Tawaran Kelab Liga Uzbekistan
Menurut Amy, insiden penggunaan logo EA tanpa kebenaran itu terjadi susulan dirinya melakukan pencarian logo-logo di Google dan logo EA dilihat cantik untuk warga Pahang.
Pada masa yang sama, Amy mengakui tidak melakukan pencarian dengan lebih mendalam terhadap logo berkenaan dimana ianya sudah berdaftar di MyIPO oleh pergerakan ultras tersebut.
Baca: Coach Fandi Suka Aura Di Stadium Temerloh, Penyokong Lebih Dekat

Menerusi tangkap layar perbincangan pasangan usahawan itu dengan pihak EA, isu tersebut diselesaikan dengan pihak Kieda Crepe diarahkan untuk mengeluarkan video dan menyatakan permohonan maaf atas salah guna logo selain menjelaskan tidak pernah wujud sebarang kolaborasi antara Kieda Crepe dan Elephant Army.
Keduanya, Kieda Crepe perlu menarik semula serta membatalkan serta-merta jualan jersi yang memaparkan logo EA dengan segala kerugian ditanggung oleh pihak Kieda Crepe sendiri.
Akhir sekali, EA turut menetapkan kesemua jersi yang tertera logo EA itu tidak dimiliki atau dipakai oleh mana-mana individu mahupun pihak termasuk pemilik, pekerja dan pelanggan Kieda Crepe.