PM Anwar Bincang Keperluan Wujudkan Stadium Sepak Takraw Negara
Hafiz Omar
Keperluan untuk mewujudkan sebuah stadium khusus bagi sepak takraw atau Stadium Sepak Takraw Negara menjadi salah satu topik perbincangan antara Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan skuad sepak takraw kebangsaan, pada Isnin.
Topik itu dibincangkan ketika Perdana Menteri Malaysia Ke-10 bertemu dengan para pemain sepak takraw negara yang berjaya merangkul gelaran juara berganda di Piala Dunia Sepak Takraw ISTAF 2024 pada Mei baru-baru ini.
Baca: 10 Faktor ASTAF Tawar PSM Hos Sepak Takraw Piala Asia 2025
Pertemuan yang berlangsung di pejabatnya itu bersama-sama Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh serta Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd. Sumali Reduan turut menyentuh status sukan sepak takraw sebagai sukan bukan teras dan peluang melanjutkan pelajaran serta kerjaya.
Tidak dilupakan, aspek kebajikan atlet sepak takraw turut menjadi bahan perbincangan.
Pada pertemuan itu juga, skuad sepak takraw kebangsaan menerima “durian runtuh” apabila Anwar mengumumkan pemberian imbuhan kemenangan sebanyak RM10,000 untuk setiap pemain dan jurulatih.
Difahamkan, pemberian itu berikutan skuad sepak takraw kebangsaan telah mengharumkan nama negara serta melonjakkan imej dan tahap sukan sepak takraw negara di persada dunia.
Baca: Pengurus Arsenal Teringin Nak Main Sepak Takraw

Pada awal Jun lalu, media tempatan melaporkan bawah Sumali telah menaruh harapan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya dapat membina sebuah stadium khusus bagi sepak takraw bertempat di ibu negara.
Dengan pembinaan stadium tersebut, ianya dapat menjadi simbol kepada sukan warisan di negara ini selain dijadikan venue untuk acara rasmi dan kejohanan penting bagi sukan sepak takraw samada domestik atau antarabangsa.
Sumali membayangkan stadium tersebut boleh memuatkan 4,000 hingga 5,000 penonton pada satu-satu masa, mampu memuatkan tiga ke empat gelanggang serta ruang penginapan sekiranya boleh untuk para pemain kebangsaan melakukan latihan di situ.
Featured Image: Facebook Hannah Yeoh