Penyerang kelahiran Brazil yang membuat keputusan untuk menamatkan kontraknya bersama Sabah FC secara persetujuan bersama iaitu Ramon Machado de Macedo kini mendapat majikan baharu.
Majikan baharu yang dimaksudkan itu ialah Araz-Nakhchivan PFK yang menamatkan saingan Liga Perdana Azerbaijan di tempat kelapan daripada sepuluh kelab yang bertanding pada musim lalu.
Penyertaan pemain berusia 33 tahun berkenaan bersama kelab terbabit diumumkan sendiri oleh Araz-Nakhchivan menerusi platform media sosialnya, pada Isnin – tidak sampai sebulan selepas meninggalkan Sabah.
Baca: Sabah Rancang Ikat Pemain Import Hadapi Kelayakan AWCL 2024-25
Difahamkan, Ramon menandatangani kontrak bersama kelab berkenaan selama setahun dan telah memulakan sesi latihan bersama pasukan baharunya itu sejak semalam.
Kancah bola sepak Azerbaijan ini bukan sesuatu yang asing buat pemain yang menjaringkan 20 gol secara keseluruhan bersama skuad berjulukan The Rhinos.
Baca: Jodoh Ramon Machado & Sabah FC Berakhir Ahad Nanti – Kontrak Asal Hingga 30 April 2025
Sebagai rekod, Ramon pernah beraksi bersama Neftci PFK dan Gabala SC pada musim 2021-22 dan 2022-23 sebelum khidmatnya diikat oleh Sabah FC bermula Jun 2023.
Pengesahan penyertaan Ramon bersama Araz-Nakhchivan ini juga sekaligus menutup desas-desus serta khabar angin yang mengaitkan penyerang ini untuk menyertai kelab-kelab lain dalam Liga Super pada jendela perpindahan pertengahan musim – 26hb Ogos hingga 22hb September 2024.
Featured Image: Araz-Nakhchivan PFK